Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Laporan: Sajat dah dibawa keluar dari Mekah
Diterbitkan:  Feb 3, 2020 3:47 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Nur Sajat - yang mencetuskan banyak kritikan sejak sehari dua lalu - dan anggota rombongannya mengerjakan umrah sudah tidak lagi berada di Mekah, kata agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan tersebut.

Memetik kenyataan jurucakap Albayt Travel (M) Sdn Bhd (Albayt), BH Online melaporkan, tindakan tersebut terpaksa diambil berikutan isu yang sedang mendapat perhatian banyak pihak ketika ini.

“Kami sudah meminta mutawif membawa keluar rombongan Nur Sajat seramai 10 orang (termasuk mutawif) keluar dari Makkah.

“Mereka dibawa untuk sesi lawatan di sekitar Madinah," katanya.

Jurucakap terbabit juga mendakwa pihaknya sukar mendapat kerjasama daripada personaliti yang dikenali dengan pelbagai isu itu.

Justeru, katanya, sebarang perbincangan di antara agensi pelancongan dengan Nur Sajat hanya dilakukan melalui orang tengah, iaitu pembantu peribadinya.

Menurut jurucakap Albayt itu lagi, pihaknya meminta Nur Sajat membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menimbulkan kekecohan dengan tindakannya memakai telekung semasa mengerjakan umrah.

Namun katanya Nur Sajat - atau nama sebenarnya Muhammad Sajad Kamaruzaman - meminta agensi pelancongan itu menunggu sehingga dia kembali ke Malaysia.

“Pihak kami terutama mutawif cuba berhubung dengan ibu bapanya, kerana hanya keluarga terdekat yang mengetahui status jantinanya.

“Bagaimanapun, ibu bapa Nur Sajat juga agak sukar diajak berbincang,” katanya.

Lihat Komen
ADS