Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jakim rujuk kes Sajat ke Jais
Diterbitkan:  Feb 13, 2020 3:39 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan pihaknya sudah memohon kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu berhubung identiti usahawan kosmetik kontroversi Nur Sajat.

Ketua Pengarahnya, Paimuzi Yahya mengulas demikian apabila Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman berkata, dia sudah bersedia untuk bekerjasama dengan Jakim agar diberi panduan yang jelas dan terperinci berhubung isu terbabit.

"Agar kerja yang dilakukan bijaksana, hikmah dan tuntas... kali ini kita telah mohon kerjasama Jais untuk mengambil langkah yang bersesuaian di bawah bidang kuasa negeri Selangor," ciapnya di Twitter hari ini.

Terdahulu, BH Online melaporkan Nur Sajat sedia bekerjasama dengan Jakim selain turut mendedahkan usahawan itu sudah mencuba pelbagai cara bagi menyelesaikan isu berkaitan identiti dirinya.

Dia sebelum itu mengundang keresahan umat Islam di negara ini apabila mencetuskan kontroversi sewaktu mengerjakan umrah kerana memakai telekung.

Kontroversi terbabit menarik perhatian pelbagai pihak termasuk mufti malah mencetuskan kebimbangan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh) jika Arab Saudi menarik balik penggunaan visa pelancongan kepada jemaah Malaysia.

Sementara itu, sebagai respons kepada seorang pengguna Twitter yang bertanya bagaimana perkembangan kes Nur Sajat sejak dirujuk pada tahun 2018, @MyJAKIM menjawab: "Tiada kerjasama daripada pihak beliau."

Lihat Komen
ADS