Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti Sarah bukan mengada-ngada nyanyi lagu Dap Dap Dap

Penyanyi Siti Sarah menafikan dia sengaja menyanyi secara mengada-ngada hingga merosakkan bahasa Melayu semasa menyampaikan single terbarunya, Dap Dap Dap.

Sebaliknya, Siti Sarah mempertahankan cara nyanyiannya untuk lagu yang mendapat sentuhan komposer Yonniboii itu sebagai seiring dengan peredaran zaman.

“Sememangnya boleh saja jika ingin menyanyi dengan sebutan yang betul dan jelas untuk setiap perkataan.

"Saya juga sudah pun cuba pelbagai cara sebelum ni seperti auto tune, namun ia tidak memberi hasil yang memuaskan.

“Kedengaran Dap Dap Dap jauh ketinggalan seperti 20 tahun ke belakang, bunyi dan feel langsung tak sesuai untuk lagu di alaf 2020,” katanya.

Siti Sarah, 35, ditemui pada majlis pelancaran lagu berkenaan di ibu pejabat Indigital Music, di Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Bagi isteri pelawak Shuib Sepahtu itu, konsep diguna pakai untuk Dap Dap Dap hanya antara kreativiti yang cuba ditampilkannya dalam sesebuah karya seni moden.

“Sejujurnya, lagu ni bukanlah bergenre klasik mahupun harus mengikut formaliti sesebuah penulisan rasmi, justeru kena menyanyi dengan sebutan yang betul.

“Cara nyanyian yang disampaikan cuma antara satu bentuk kreativiti, apabila menyanyi R&B, tak perlu nak fikir ni boleh atau yang tu tak boleh,” katanya.

Kata pemilik nama penuh Siti Sarah Raisuddin itu, Yonniboii turut menyarankan dia untuk mempersembahkan Dap Dap Dap dengan cara nyanyian yang lebih berkarakter.

“Selepas mencuba, baru kami dapati ia bersesuaian dengan seluruh konsep lagu, walaupun pada hakikatnya perlu ambil tempoh 8 jam untuk menyanyi sebegitu,” katanya.

Menurutnya, sesebuah lagu diciptakan bertujuan untuk menghiburkan, justeru, kepada sesiapa pun yang mendengarnya, ia seharusnya menimbulkan perasaan gembira.

“Diharapkan bila dengar lagu loose macam ni, orang akan mudah terhibur,” katanya.

Lihat Komen
ADS