Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Raffi Ahmad, isteri terkilan dituduh pembawa Covid-19
Diterbitkan:  Feb 14, 2020 9:03 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Pelakon, pengacara dan penyanyi Indonesia, Raffi Ahmad mengaku terkilan apabila dituduh pembawa wabak Covid-19 sewaktu mengunjungi Turki, baru-baru ini.

Raffi mendakwa ada segelintir penduduk tempatan mula berteriak “corona man” ke arahnya sebaik melihat dia bersama isteri, Nagita Slavina yang juga seorang selebriti sebaik mendarat di salah satu lapangan terbang di Turki.

Menurutnya, kejadian itu berlaku disebabkan rakyat Indonesia mudah dipandang sebelah mata.

“Warna kulit Nagita putih, saya pula kalau tak ada jambang dengan mudah disangka… corona man,” katanya dipetik media Indonesia.

Menambah kekecewaan, Nagita, 31, menjelaskan, terdapat pula segelintir penduduk mula menutup mulut dan hidung apabila melihat mereka.

“Mereka anggap kami dari Marrakesh, dari daratan. Amat sedih. Semua orang tutup mulut,” katanya.

Bukan setakat itu, Nagita berkata, kehadiran mereka juga dirakam oleh penduduk tempatan.

“Mereka mengambil gambar dan video kami,” katanya.

Bandar Turki termasuk lebih 18 lokasi di seluruh dunia dilawati Raffi dan Nagita sewaktu mereka melakukan pengembaraan mengelilingi dunia.

Pasangan itu yang sudah berkunjung antaranya ke Asia, Eropah, Australia dan pada ketika ini sudah berada di Madinah.

Kata Raffi, 32, bagi menenangkan penduduk tempatan, dia kemudian mula menjelaskan bahawa tempat asalnya bukan dari China sebaliknya Indonesia.

Sorry, we are from Indonesia," kata pemuda berasal dari Bandung itu.

Pasangan itu berkahwin pada 17 Oktober 2014 di Jakarta Selatan. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rafathar Malik Ahmad yang kini berusia 4 tahun.

Terdahulu, Raffi dan Nagita berdepan ujian lain apabila mereka kehilangan salah satu beg pakaian yang didakwa dicuri di lapangan terbang tersebut.

Lihat Komen
ADS