Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Isma AF7 akur kehendak suami larang kongsi kisah rumah tangga

Penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia 7, Isma akur kehendak suami, Mohd Dzaki yang enggan dia berkongsi kisah rumah tangga mereka pada umum.

Meskipun tidak lokek berkongsi imej suami barunya itu di media sosial, Isma menjelaskan masih terdapat ‘peraturan’ perlu diamalkan yang dipersetujui antara mereka berdua - iaitu untuk tidak membabitkan lelaki itu dan keluarganya dalam industri hiburan.

Katanya, cukuplah sekadar peminat maklum mereka sudah berkahwin.

“Memang suami tak suka jika saya bercerita mengenainya kepada umum. Apa saya boleh katakan, cukup sekadar orang ramai tahu kami sudah berkahwin,” katanya mengenai suami yang bekerja dalam sektor kerajaan itu.

Isma atau nama penuhnya Ismaliza Ismail, 41, berkata, alasan utama Mohd Dzaki berpesan sedemikian kerana lelaki itu sebenarnya tidak biasa dengan dunia hiburan.

“Suami dan keluarganya seboleh-bolehnya tak mahu terbabit dalam dunia yang saya ceburi disebabkan mereka lebih selesa untuk low profile. Saya juga bersetuju kerana sebelum ini dah ada pengalaman, justeru kali ini biarlah kami utamakan privasi,” katanya.

Isma ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaru fesyen muslimah Munawwareen 2020 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk rekod, pasangan itu melangsungkan perkahwinan mereka di Menara Seri Dewan Wilayah, Putrajaya pada 21 Disember lalu. Berita itu diketahui hanya selepas, adiknya, penyanyi Tomok berkongsi perkara itu di media sosial.

Perkahwinan terdahulu bersama penyanyi dan komposer Zul 2 by 2 yang dibina hampir 20 tahun terlerai dua tahun lalu. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Muhammad Haiqal Aiman, 21, Muhammad Haiqa Aydiel, 20, Seri Aida Merlissa, 18, Seri Ayreen Merlynda, 16, dan Seri Adryana Mercella, 12.

Bagaimanapun, Isma berkata, suaminya tidak pernah melarang dia untuk meneruskan kariernya sebagai penghibur selepas mereka diijab kabul.

Dia juga bersyukur apabila suaminya itu sentiasa memberi sokongan untuk dia terus mencari rezeki dalam bidang seni.

“Alhamdulillah, saya tak menyangka ditemukan jodoh dalam masa yang singkat. Kita tak tahu perancangan Allah dan saya terima dengan hati terbuka.

“Bagi saya yang dah lepas, itu lepas, pada usia sebegini apa yang penting dalam kehidupan adalah untuk tutup buku lama dan buka buku baru,” katanya.

Lihat Komen
ADS