Pelakon Sharifah Sakinah hari ini berkongsi detik-detik cemas apabila anaknya, Anais Adha, menunjukkan beberapa simptom Covid-19.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Sharifah Sakinah berkata, Anais menunjukkan tanda-tanda wabak yang sudah meragut banyak nyawa itu dan beberapa hospital didakwanya enggan menerima kes tersebut.

“Anais mengalami sakit tekak, batuk dan demam dan kami bawa dia ke beberapa hospital swasta sekitar Kuala Lumpur tapi semuanya tidak mahu terima.

“Dia 70 peratus kemungkinan dijangkiti Covid-19 berdasarkan simptom dialami, tambahan ayahnya seorang juruterbang,” kata Sharifah Sakinah dalam hantaran tersebut.

Kata Sharifah Sakinah lagi, akhirnya Anais diterima di sebuah hospital swasta dan sampel daripada kanak-kanak itu diambil untuk ujian.

“Semalam (Jumaat) kami telah terima keputusan ujian dan alhamdulillah, negatif,” katanya.

Sementara itu, usahawan, pelakon dan pengacara terkenal, Neelofa, semalam memohon orang ramai mendoakan agar anak sepupunya - yang berusia tujuh bulan - sembuh segera selepas disahkan positif Covid-19.

“Saya tidak boleh bayangkan apa yang mesti dilakukan sekarang,” ciapnya mengenai kanak-kanak itu, Noor Sameera.

Adik kepada Neelofa, Athisa, dalam Twitter memberitahu bayi berkenaan dipercayai dijangkiti virus daripada ahli keluarga suami sepupunya yang baru pulang dari luar negara.

“Mengikut cerita, dalam pesawat itu ada seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang dikatakan positif Covid-19,” tulisnya semalam.

Sehingga tengah hari ini, seramai sembilan orang sudah meninggal dunia akibat wabak yang kini memasuki gelombang kedua itu.