mk-logo
Seni & Hiburan
Permaisuri Johor hasilkan lukisan tanda penghargaan buat petugas perubatan
Diterbitkan:  Mar 23, 2020 4:43 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

"Kepada doktor, jururawat dan kakitangan di semua hospital dan klinik di Johor. Anda adalah wira kami," begitu nukilan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris pada sebuah karya catan bertulis kata-kata, "Terima Kasih daripada Ibrahim dan Zarith" yang dihasilkan baginda.

Lukisan sebagai menghargai komitmen dan tanggungjawab petugas perubatan di semua hospital dan klinik seluruh Johor itu diserahkan kepada Pengarah Hospital Permai Dr Norazam Harun oleh wakil Royal Press Office (RPO).

Dr Norazam merakamkan penghargaan atas keprihatinan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah.

"Kami berasa amat terharu dan menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah yang telah mengurniakan makanan dan kini sebuah lukisan pula yang menjadi pembakar semangat kepada kami semua.

"Kami juga mohon kepada masyarakat agar sentiasa mendoakan kami petugas di barisan hadapan ini agar sentiasa sihat dan dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya ...mudah-mudahan wabak ini akan berakhir segera, InshaAllah," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik oleh RPO dalam Facebook rasmi The Royal Johor, di Johor Bahru.

Selain itu, Permaisuri Johor turut berkenan mengurniakan sumbangan makanan kepada kira-kira 400 mahasiswa dan mahasiswi di Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur termasuk pelajar Pusat Pengajian Lanjutan Islam, Sains dan Tamadun Raja Zarith Sofiah UTM sehingga 31 Mac ini.

Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor juga mendermakan RM50,000 kepada Tabung Khas Bantuan COVID-19 UTM.

“Tabung khas itu bertujuan mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak untuk membantu pelajar dan staf yang terkesan akibat penularan virus itu, serta menampung sebahagian pengurusan pencegahannya,” titah Raja Zarith Sofiah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS