Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penyanyi, pelawak sepakat minta maaf
Diterbitkan:  Mar 31, 2020 12:01 PM
Dikemaskini: 4:01 AM

Enggan memanjangkan lagi isu artis mengharapkan bantuan khas kerajaan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) sekarang, Black Hanifah tampil memohon maaf secara terbuka malam tadi.

Kata penyanyi Sakit Ku Rasa itu, dia mengambil maklum atas kenyataan yang dikeluarkannya tempoh hari hingga mengundang rasa tidak puas hati ramai pihak.

"Baru baru ni saya ada keluarkan satu kenyataan yang membuatkan ramai orang rasa tidak selesa dan marah. Niat saya untuk membantu, tapi mungkin cara penyampaian saya tu salah.

"Saya ingin memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan saya. Saya juga manusia biasa, melakukan kesilapan.

"Harap netizen menghentikan komen tak baik ke atas saya dan keluarga saya," katanya di media sosial.

Turut mengiringi kenyataan itu adalah ucapan penghargaannya buat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atas Bantuan Prihatin Nasional diberikan untuk rakyat. 

 "Saya juga ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang memberi hak sama rata," katanya.

Terdahulu, isu mengenai kerajaan tidak wajar meminggirkan penggiat seni mencetus kontroversi apabila netizen mempertikaikan kewajaran mereka menuntut hak berbeza daripada apa yang sudah disediakan kerajaan.

Mereka yang tidak berpuas hati mempersoal kesesuaian golongan tersebut meminta bantuan sedangkan ada di antara mereka mampu berpakaian mewah dan menayangkan kekayaan di media sosial.

Harap isu selesai

Seorang lagi artis turut menerima tempias adalah penyanyi Tomok. Dia dikecam selepas dia memuat naik kenyataan berhubung isu sama di Instagram miliknya pada 26 Mac lalu.

Sama seperti Black, Tomok juga tampil memohon maaf secara terbuka kerana luahan dibuat lima hari lalu. 

"Untuk tidak menjadikan keadaan semakin buruk saya ingin meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia.

"Maaf sekiranya kenyataan saya di Instagram tempoh hari ada menyakiti hati kalian. Saya juga manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan.. maafkan saya semua.

"Marilah kita sama-sama doakan semoga negara kita dan dunia bebas daripada Covid-19," katanya.

Pelakon dan pelawak Shuib juga tidak ketinggalan untuk memohon maaf dan berharap apa diperkatakannya itu dapat menyelesaikan isu berbangkit.

Katanya, dia menerima teguran dibuat netizen dan berterima kasih buat sesiapa yang masih menyokong kariernya.

"Saya mengambil apa yang berlaku berhubung kenyataan saya tempoh hari sebagai kesilapan sendiri. Saya mohon ampun dan maaf dan saya harap isu ini selesai.

"Saya terima apa juga kata-kata anda. Satu yang pasti, saya selalu kenang jasa anda semua yang menyokong saya," katanya.

Suami penyanyi Siti Sarah Raisuddin itu sebelum ini tampil membela nasib rakan seperjuangannya dalam industri iaitu Black dan Tomok yang dikecam kerana meluahkan pendapat mereka.

Seorang lagi pelawak, Achey, tidak ketinggalan mengakui kesilapan selepas tampil dengan kenyataan membela rakan-rakannya yang dikecam kerana memperjuangkan isu bantuan untuk penggiat seni.

"Untuk membuatkan keadaan lebih tenang lepas ni, apa saja yang salah buat, salah laku, salah cakap ke pasal bantuan artis tu, saya ingin memohon maaf di sini atas segala apa yang berlaku, atas kekhilafan saya. Saya juga manusia biasa.

"Saya harap benda ini tidak berpanjangan, sebab ada benda yang kita perlu fokus lagi dekat luar sana," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS