Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Duffy dakwa diberi dadah, diperkosa, dikurung berminggu-minggu
Diterbitkan:  Apr 6, 2020 6:06 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Penyanyi terkenal dengan lagu hit Mercy, Duffy berkongsi detik hitam pernah diberi dadah sebelum diperkosa selain dikurung hingga berminggu-minggu demi membantu mangsa seksual yang menderita nasib sama sepertinya.

Menceritakan kisah itu kata Duffy mendakwa dia diberi dadah di sebuah restoran pada hari ulang tahun kelahirannya sebelum menyedari dia dikurung di rumahnya dan kemudian dibawa ke luar negara.

“Pada hari jadi saya, saya diberi dadah di sebuah restoran, diberi dadah selama empat minggu sebelum dibawa ke negara asing.

“Bagaimanapun, saya tak ingat bagaimana boleh menaiki pesawat dan berada dalam bonet kereta yang sedang bergerak.

“Saya dibawa ke sebuah bilik hotel dan penjenayah itu kembali serta memperkosa saya. Saya masih ingat lagi kesakitan itu dan cuba kekal terjaga dalam bilik tersebut.

“Malangnya saya terperangkap dengan pemangsa sampai keesokan hari. Penjenayah itu tak melihat wajah saya kerana disuruh berjalan di depannya. Dia boleh bunuh saya,” katanya.

Penyanyi berketurunan Wales itu pertama kali mendedahkan kisah itu pada Februari lalu. Dan dia kembali menceritakan kejadian terbabit dengan lebih terperinci pada laman penulisannya Duffy Words.

Dia yang turut terkenal dengan lagu Rain On Your Parade berkata, tidak tahu bagaimana memperoleh kekuatan untuk bertahan sewaktu diuji selain mendakwa penculiknya itu mengugut mahu membunuhnya.

Duffy, 35, - yang juga seorang aktres itu berkata, dia berkongsi pengalamannya kerana menyedari manusia tinggal dalam dunia yang menyakitkan jiwa.

“Saya berharap apa diceritakan dapat menenangkan kamu dan dapat mengurangkan perasaan malu jika berasa sendirian.

“Saya tak lagi malu bahawa ada sesuatu telah melukakan saya lagi. Saya percaya jika kamu boleh bercakap dari hati, akan ada hati lain yang boleh menyahutnya.

“Sejauh mana kisah ini pahit, saya bercakap dari hati untuk kehidupan sendiri dan orang lain yang menanggung keperitan sama,” katanya dipetik The Guardian.

Duffy mendakwa, dia berjaya melarikan diri, namun tidak menjelaskan butiran itu secara terperinci.

Ekoran kejadian itu katanya, dia mengalami trauma selain berisiko tinggi untuk membunuh diri.

Bagaimanapun, menurutnya, dia kini boleh mengatasi perasaan trauma itu dan berterima kasih dengan pakar psikologi yang membantunya.

Kali terakhir Duffy mengeluarkan album adalah pada 2010.

Duffy pernah menerima Anugerah Grammy untuk kategori Vokal Terbaik Pop Album melalui Rockferry dan memenangi tiga daripada empat pencalonan Anugerah Brit untuk British Breakthrough, Album Terbaik British dan Wanita Terbaik British.

Pada 2011 dia terjun ke bidang lakonan buat julung kali melalui filem Patagonia.

Lihat Komen
ADS