Mengaku tak pandai agama, Janna harapkan teguran kasih sayang
Selepas mengaku tidak pandai bab agama, Janna Nick akhirnya memohon maaf susulan sikapnya ‘berperang’ secara terbuka di media sosial selepas peserta Pencetus Ummah (PU) Syed Bakri memberi teguran terhadap lakonannya seolah-olah meminum arak dalam sebuah klip video.
Menurut Janna, konflik yang tercetus di antara dia dan Syed Bakri hari ini disebabkan keinginan seseorang memberi teguran dengan cara yang sewajarnya.
“Saya pun tak rasa saya betul. Saya minta maaf kongsi perkara mengundang fitnah.
"Apa yang saya minta daripada diri yang hina ini cumalah teguran yang penuh kasih sayang: ikhlas daripada orang yang masih belajar,” katanya.
Pada masa sama Janna turut berikrar untuk tidak mengulangi lagi kesilapan sedemikian.
“Saya minta maaf kepada semua. Saya juga minta ampun kepada @pencetusummah_syed. Lepas ni saya muat naik perkongsian yang baik-baik OK,” katanya di media sosial.
Dalam pertikaianya, Janna menyifatkan teguran Juara PU 2015 itu - yang dibuat secara terbuka - bukan benar-benar berniat untuk menasihati sebaliknya menghina.
Waspada apa dikongsikan
Malah aktres itu berpendapat teguran berkenaan sebenarnya satu cubaan kreatif untuk meraih penonton atau pengikut tinggi di media sosial, yang kesemuanya dinafikan Syed Bakri.
Janna berkata, meskipun mengaji “merangkak-rangkak” dia sebenarnya masih mempunyai keinginan untuk mendalami ilmu agama.
Justeru sebagai seseorang yang memegang gelaran Pencetus Ummah, wajarlah Syed Bakri memberi teguran secara beradab dan tidak membuatkan seseorang yang ingin belajar menjauhi agamanya.
“Saya ni tak pandai agama, mengaji pun merangkak-rangkak senang cerita. Tak la mahir bab agama tapi masih belajar, masih ada keinginan untuk tambah pengetahuan agama, yelah bukan semua lahir dalam keluarga kuat agama.
“Bila kita nak belajar, kita percaya dengan gelaran Pencetus Ummah, jadi mohonlah guna gelaran tu dengan betul jangan buat orang nak belajar agama jadi benci dengan si penyampai agama,” katanya.

Terdahulu, Syed Bakri memberi teguran secara terbuka terhadap Janna, 24, yang melakonkan aksi seolah-olah meneguk arak di media sosial dengan menyifatkan perbuatan itu boleh membawa fitnah.
Janna melalui klip video dimuat naik di Instagram miliknya berlakon seolah-olah sedang berhibur di sebuah kelab malam sambil menjawab panggilan telefon daripada kekasihnya.
Pada masa sama, pemilik nama penuh Nurul Jannah Muner itu juga melakonkan aksi meneguk air sirap yang konon-konon adalah arak.
Meskipun menyedari ia sekadar lakonan, Syed Bakri berkata, wajarlah seseorang yang mempunyai ramai pengikut sentiasa berwaspada dengan apa yang mereka kongsikan buat tatapan umum agar tidak membawa mesej yang sia-sia.
“Video yang membawa fitnah, tok sah (tak usah) dikongsikan pada khalayak, anda ramai pengikut, jika mereka ikut takkah membawa dosa pada diri mereka dan anda juga akan berkongsi bersama dosa tersebut.
“Maaf ambe guna bahasa menyindir dalam teguran terbuka ni, harap difahami, kita semua satu akidah, kita sayang saudara Islam kita,” katanya.

