Meskipun terkejut, pelakon dan pengacara Zulin Aziz mengaku dia lebih berasa lucu apabila sebuah produksi filem Tamil melamarnya untuk melebarkan sayap lakonan dalam industri Kollywood.

Berkongsi kisahnya itu, Zulin berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh pengurusnya, Ayra Nasir, yang menerima mesej daripada produksi terbabit.

"Wakil syarikat produksi itu minta e-mel untuk mendapatkan butiran dan perbincangan lanjut. Sejujurnya, saya tidak teruja sangat, lebih kepada rasa lucu dengan tawaran yang diterima.

"Saya pun tak tahu macam mana mereka boleh melihat video suntingan yang dihasilkan di IG hingga mahu menawarkan peluang lakonan," katanya seperti dipetik BH Online.

Di laman Instagram pula Zulin berseloroh dia ingin bertemu bintang Kollywood Rajinikanth.

"Punyalah aku buat video dengan pelakon Hindustan, sekali dapat tawaran filem Tamil. Lepas ni nak parodi filem Chandramukhi. Ada chance tak jumpa Rajnikanth @ayra_nasir.

Pada 2 April lalu, Malaysiakini menyiarkan laporan video disunting pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abdul Aziz itu meraih perhatian aktor terkenal Bollywood, Arjun Rampal.

Meskipun tidak memahami isi kandungan video berkenaan, Arjun meminta peminatnya di akaun Twitter - yang mempunyai lebih empat juta pengikut - untuk membantu menterjemahkan klip yang disifatkannya lucu itu. 

Bagaimanapun, Zulin, 30, berkata dia masih perlu berhati-hati sebelum menerima lamaran tersebut.

"Saya kena berhati-hati. Saya tak tahu sejauh mana kesahihan semua ini. Bimbang juga penipuan atas talian," katanya.

Penyanyi lagu Follow Back itu berkata, sekiranya benar tawaran yang diusulkan kepadanya, dia terbuka dan bersedia untuk mencabar diri.

"Lakonan juga menjadi minat saya, selama ini. Kalau betullah tawaran ini, saya kena kerja lebih sikit.

"Saya tak boleh lagi hentam cakap Bollywood macam selalu dilihat dalam video di IG.

"Saya kena pikul cabaran besar. Semuanya masih dalam proses perundingan. Saya pun belum tahu kesudahannya bagaimana," katanya.