Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Ziana nafi sekat anak-anak jumpa bekas suami

Diterbitkan

Penyanyi Ziana Zain menafikan dakwaan dia menghasut anak-anaknya supaya membenci serta menghalang pertemuan dengan bapa mereka, Armin Zaharin Ahmad Zambri.

Ziana berkata, mustahil untuknya memisahkan kasih sayang seorang ayah dengan anak-anak hanya kerana berlaku perceraian antara mereka.

"Saya terdengar cakap orang mendakwa saya tidak membenarkan anak-anak bertemu dengan bekas suami.

"Itu tidak benar sama sekali. Perceraian berlaku hanyalah antara saya dan dia, manakala anak tidak seharusnya menerima hukuman atas apa yang terjadi antara kami.

"Jujurnya, saya sering bertanyakan pada anak-anak, apakah mereka ingin bertemu dengan bapanya. Saya tak mahu mendera emosi mereka hanya kerana perasaan dendam atau amarah terhadap bekas suami," katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Cuma, kata Ziana, buat masa ini anak-anaknya belum bersedia dan memerlukan masa untuk bertemu bapa mereka.

"Saya faham perasaan mereka dan jika satu hari nanti mereka menyuarakan hasrat mahu bertemu, saya akan mengizinkannya," kata Ziana lagi.

Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain, 52, berkata sememangnya terbit rasa sedih apabila mengenangkan nasib anak-anak yang terpaksa menempuh kehidupan tanpa ayah di sisi.

"Saya seorang anak yang rapat dan manja dengan ayah saya. Justeru, apabila mengenangkan nasib anak-anak saya sendiri yang terpaksa membesar tanpa ayah, saya rasa sangat sedih. Dalam usia masih mentah, mereka perlu melalui pengalaman seperti ini.

"Namun, saya lihat mereka sangat tabah, lebih-lebih lagi anak sulung, Muhammad Aiman yang sangat bertanggungjawab membantu menjaga adik-adiknya.

"Doa saya semoga kami semua dilindungi dan cekal dalam menempuh pelbagai ujian yang mendatang," kata Ziana dalam nada sebak.

Ziana dan Armin mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 21; Muhammad Ammar, 16; serta pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 11.

Kemelut rumah tangga pasangan itu tercetus pada Mac 2018 selepas timbul dakwaan Armin mendera anak lelaki mereka.

Ekoran kejadian terbabit, Ziana membuat laporan polis, selain bertindak memfailkan perceraian.

Armin menceraikan Ziana dengan talak satu pada Julai, tahun yang sama.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan