Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Polis tahan pelakon lelaki didakwa larikan isteri orang
Diterbitkan:  May 28, 2020 11:01 AM
Dikemaskini: 3:01 AM

Polis menahan seorang pelakon lelaki ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Selasa lalu bagi memberi keterangan berhubung dakwaan menjalinkan hubungan dan melarikan isteri orang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusoff berkata polis sebelum itu menerima satu laporan daripada seorang lelaki berumur 38 tahun yang juga suami kepada wanita berkenaan.

Beliau berkata suami wanita itu melaporkan tentang ketiadaan isterinya di rumah mereka di Taman Sering Ukay, Ampang dan dipercayai telah keluar rumah tanpa izin bersama seorang lelaki yang dikenali, pada Isnin (25 Mei).

"Suami wanita berkenaan turut mendapati suspek telah berhubung dengan isterinya dengan niat cuba memperdaya bagi mendapatkan sesuatu," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Noor Azmi, polis telah mendapatkan perintah reman selama empat hari sehingga 30 Mei ini terhadap suspek bagi membantu siasatan menurut Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah.

Kes turut disiasat menurut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu kelakuan aib, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS