Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penganjur Miss Universe Malaysia bidas kenyataan bekas ratu cantik
Diterbitkan:  Jun 2, 2020 12:07 AM
Dikemaskini: Jun 2, 2020 2:44 AM

Penganjur pertandingan ratu cantik Miss Universe Malaysia Organisation (Mumo) membidas kenyataan salah seorang bekas pemenang pertandingan itu berhubung tunjuk perasaan ‘Black Lives Matter’ di AS.

Mumo menyatakan rasa kecewa terhadap Samantha Katie James dan menyifatkan kenyataan pemenang Miss Universe Malaysia 2017 berhubung perkara itu sebagai "tidak wajar, menyinggung perasaan, tidak dapat diterima, dan melukakan".

Dalam satu kenyataan hari ini, Mumo berkata pandangan yang dilontarkan Samantha adalah pandangannya sendiri dan tidak mewakili organisasi mereka.

"Mumo menolak perkauman dan mengutuk semua tindakan perkauman dan prejudis di mana-mana sahaja di dunia," kata organisasi itu.

Mumo juga menambah bahawa Samantha tidak mempunyai kontrak dengan organisasi mereka, dan tidak mewakili organisasi itu sejak Jun 2018.

Samantha sebelum ini menimbulkan kontroversi melalui komennya mengenai tunjuk perasaan yang disiarkan dalam talian melalui Instagram Stories hari ini.

Dia mendakwa bahawa tindakan penunjuk perasaan menunjukkan bahawa orang kulit putih di AS telah menang.

"Kerana jika anda marah, anda bertindak balas dengan marah dan sedih. Itu bermaksud ia berkuasa atas kamu [...] Manusia naif.

"Kepada orang kulit hitam, bertenanglah. Ambil perkara ini sebagai cabaran, menjadikan anda lebih kuat.

"Anda dipilih untuk dilahirkan sebagai orang yang 'berwarna' di Amerika atas sebab tertentu.

“Terimalah apa adanya, sampai saat ini kelaparan dan kemiskinan tetap wujud. Ia adalah apa adanya. Yang terbaik yang boleh anda lakukan adalah tetap tenang, melindungi hati, dan tidak membiarkannya hancur. Itu tanggungjawab anda," katanya.

Samantha juga memuat naik tangkap layar perbualan dengan netizen yang menanyakan apa maksudnya "memilih" untuk dilahirkan sebagai manusia "berwarna".

Samantha menjawab dengan berkata: "Seperti mana jiwa kita memilih hidup ini, tubuh ini, atas sebab tertentu."

Samantha malah merujuk dirinya sebagai orang kulit putih, dan mengatakan dia memiliki warisan darah Cina, India, dan Brazil.

Kenyataan Samantha mendapat kecaman daripada pengguna media sosial, termasuk sesetengahnya menyunting artikel bekas ratu cantik itu di Wikipedia.

Susulan itu, pentadbir Wikipedia terpaksa mengunci entri Samantha daripada disunting.

Tunjuk perasaan berlaku di beberapa bandar di AS susulan kematian seorang lelaki berkulit hitam, George Floyd ketika ditahan polis.

Kematian Floyd dikaitkan dengan perkauman oleh pihak polis yang menahannya dengan kekerasan berlebihan.

Susulan protes berkenaan, perintah berkurung telah dikuatkuasakan di beberapa bandar di AS.

Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein sebelum ini menasihati rakyat Malaysia di AS untuk mematuhi perintah berkurung berkenaan dan menghindari protes itu.

Lihat Komen
ADS