Pelakon Nadzmi Adhwa sukar menggambarkan perasaannya selepas pertama kali menyaksikan sendiri bagaimana isterinya, Ardell Aryana berjuang menahan sakit lebih 16 jam untuk melahirkan anak sulung mereka.

Kata Nadzmi, Ardell selamat melahirkan cahaya mata mereka secara normal pada jam 2.22 pagi tadi.

“Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Terima kasih keluarga kami yang tak tidur dan tak lekang-lekang mendoakan.

“Terima kasih atas doa baik-baik daripada kalian semua. Isteri saya selamat melahirkan @babyadhwardell secara normal pada hari Jumaat yang mulia ini, 5 Jun 2020 pada pukul 2.22 pagi tadi selepas berjuang menahan sakit lebih 16 jam.

“Tak tahu nak cakap macam mana perasaan tu, sedih, sayu, gembira semua bercampur bila melihat sendiri kesakitan dan perjuangan isteri,” katanya di Instagram.

Bagaimanapun, pelakon filem Busut Bonang itu masih belum bersedia untuk mendedahkan jantina bayi mereka lagi.

Mengiringi berita gembira itu, pemilik nama penuh Nadzmi Adhwa Nor Adzmi itu memuat naik gambar dirinya menyambut kelahiran bayi mereka.

Adhwa dan Ardell mendirikan rumah tangga pada 1 September tahun lalu.

Pasangan itu memaklumkan akan menimang cahaya mata pada Disember lalu.

Sementara itu, Nadzmi, 27, turut mengucapkan terima kasih kepada doktor di Andorra Women and Children Hospital, Seri Kembangan, Selangor yang dipercayai bertanggungjawab menyambut kelahiran bayi sulungnya itu.

“Terima kasih Dr Khamsiah Muda @andorrahospitalofficial kerana sama sama berjuang dengan @ardellaryana. Sekali lagi terima kasih atas doa kalian semua,” katanya.