Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ribuan orang desak henti penggambaran Dayang Senandung
Diterbitkan:  Jun 19, 2020 1:47 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

Lebih 3,000 pengguna menurunkan tandatangan menyokong petisyen dalam talian bagi mendesak penggambaran drama Dayang Senandung terbitan Zeel Production Sdn Bhd (Zeel) dihentikan serta-merta atas dakwaan mendiskriminasi warna kulit.

Selain Zeel, petisyen berkenaan turut ditujukan kepada Astro Malaysia Holdings, Fadzil Teh dan Henry Tan Poh Hock.

Kekecohan bermula dipercayai selepas penyanyi dan pelakon Wani Kayrie - yang memegang watak Dayang Senandung - memuat naik klip video tariannya melalui aplikasi TikTok.

Susulan video tersebut, isu membabitkan Dayang Senandung menjadi polemik dalam kalangan warga maya sejak pagi tadi. Antaranya apabila ia dipaparkan sebagai wanita kulit hitam.

Topik itu juga menjadi antara sohor kini dalam Twitter hari ini.

Nama watak Dayang Senandung biasanya dikaitkan dengan filem klasik yang diterbitkan dalam bentuk hitam putih pada 1965.

Filem itu mengisahkan seorang puteri raja dari Ratnapura yang dilahirkan bertubuh hitam akibat terkena sumpahan. Cerita berkenaan diakhiri dengan tubuhnya menjadi cerah selepas sumpahan tersebut terhapus.

Baru-baru ini isu diskriminasi warna kulit hangat diperkatakan secara global selepas lelaki kulit hitam, George Floyd, mati sewaktu ditahan polis.

Ekoran kejadian itu, tunjuk perasaan Black Lives Matter berlaku di banyak bandar raya di AS serta beberapa negara Eropah.

Ini bukan kali pertama isu Dayang Senandung menyentuh sensitiviti dalam kalangan netizen.

Terdahulu, rangkaian penjual barangan penjagaan diri Watsons Malaysia memohon maaf selain terpaksa menarik balik iklan hari raya mereka, Legenda Cun, yang mengundang pelbagai kecaman orang ramai kerana memaparkan gadis berkulit hitam legam.

Watak Dayang Senandung itu dibawakan pelakon Ruhainies. 

Isu utama yang dipertikaikan ialah bagaimana komersial berkenaan seakan-akan memberi takrif "cantik" dengan kulit putih dan sebaliknya hitam dianggap hodoh.

Lihat Komen
ADS