Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana hiperaktif, YonnyBoii dituduh ambil pil kuda

Gara-gara tidak mampu mengawal tingkah laku selain berkelakuan hiperaktif sepanjang masa, penyanyi dan komposer YonnyBoii mengaku dia pernah dituduh rakan-rakan sebaya mengambil pil kuda.

Biarpun tidak pernah terbabit dengan sebarang bahan terlarang, YonnyBoii enggan mengambil pusing fitnah dilemparkan terhadapnya selain memilih pendekatan untuk berdiam diri.

“Walaupun ada segelintir yang menuduh demikian, saya biarkan saja. Kadang-kadang ada juga saya mengiyakan sebab malas nak panjangkan isu.

“Sebab saya tahu, jika dibalas atau dijawab, situasi akan lebih buruk. Jadi lebih baik saya berdiam diri saja,” katanya.

YonnyBoii berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single duet Kelabu bersama Azlan Typewriter di ibu pejabat Universal Music Malaysia, Menara Symphony, Petaling Jaya hari ini.

YonnyBoii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin menjelaskan, dia sebenarnya mengidap penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif.

Kata YonnyBoii, 22, penyakit tersebut dihidapi sejak kecil hingga menyebabkan dia pada kebanyakan masa disifatkan rakan-rakan sebagai seorang yang sering berkelakuan pelik selain bersikap hiperaktif.

“Tak ramai yang tahu saya mempunyai ADHD. Saya sendiri pun baru mengetahui mengenai penyakit ni tahun lalu melalui rakan yang juga seorang doktor.

“Saya sedar memang kelakuan sedikit berbeza daripada daripada rakan-rakan sebaya tapi tak sangka pula tingkah laku saya mempunyai kaitan dengan ADHD,” katanya.

ADHD sejenis penyakit yang memberi kesan ketara dan berupaya mempengaruhi tahap pencapaian seseorang dalam pekerjaan, perhubungan, dan kekeluargaan, serta bagaimana mereka mengawal diri dalam persekitaran tersebut.

Bagaimanapun, menurut penyanyi Sakit itu, dia tidak bercadang untuk mendapatkan rawatan profesional kerana beranggapan ADHD mempunyai pengaruh besar terhadap kehidupannya sebagai seorang pengkarya.

Malah, penyanyi yang juga pernah popular dengan lagu Salahku itu menganggap penyakit berkenaan sebagai anugerah terbesar daripada Tuhan untuknya.

“Saya selesa dengan keadaan ni sebab ia membantu melahirkan ilham kreatif untuk berkarya selain meletakkan saya di tahap ni” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Kelabu, YonnyBoii memberitahu liriknya dihasilkan berdasarkan kisah buli yang pernah dialaminya sejak berusia enam tahun hingga dewasa.

“Setiap bait dihasilkan mempunyai kaitan dengan sejarah silam hidup saya selama ni.

Kelabu adalah salah satu daripada karya yang membongkarkan pengalaman hitam saya yang pernah dibuli,” katanya.

Lihat Komen
ADS