Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mira Filzah kini tunangan anak timbalan menteri
Diterbitkan:  Jul 16, 2020 7:18 PM
Dikemaskini: 11:18 AM

Pelakon terkenal Mira Filzah akhirnya mengesahkan spekulasi bahawa dia dijangka berkahwin tidak lama lagi.

Hal itu menjadi jelas apabila dia mengaku sudah bertunang dengan kekasihnya, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar.

Bagaimanapun, Mira enggan mendedahkan secara terperinci mengenai pertunangannya dengan anak kepada seorang timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Status sekarang dah bertunang,” katanya dipetik Harian Metro.

Mira atau nama penuhnya Nur Amirah Filzah Badioezaman juga tidak menafikan persiapan majis perkahwinannya yang dikatakan bakal berlangsung Oktober ini.

“Saya dah bersedia (untuk berkahwin) dan kini sedang dalam fasa on-going (persediaan).

“Kalau berapa peratus persediaan yang sudah dilakukan, saya tak dapat jawab kerana masih di peringkat awal,” katanya.

Mira, 27, berkata, perkara berkenaan akan dimaklumkan kepada media sekiranya semuanya berjalan dengan lancar.

“Insya-Allah, memandangkan kerajaan pun sudah membenarkan jumlah tetamu untuk majlis perkahwinan adalah 250 orang, tentunya saya akan sediakan tempat untuk rakan-rakan media.

“Apa-apa pun, saya akan maklumkan sekiranya semuanya sudah siap sedia,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai desas-desus hubungan Mira dan Emir apabila adiknya, Aina Fadhilah memanggil lelaki tersebut dengan gelaran BIL (brother in law) atau abang ipar.

Untuk rekod Wan Emir merupakan anak kepada anggota parlimen Kuala Kangsar Mastura Mohd Yazid. Bapanya pula ialah Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Sebelum ini Wan Mohammad Khair-il adalah anggota parlimen bagi kawasan sama, namun meninggal dunia dalam kemalangan helikopter di Sarawak pada 5 Mei 2016.

Selepas Muhyiddin Yassin dilantik menjadi perdana menteri baru-baru ini beliau mnemilih Mastura menjadi timbalan menteri bagi tugas-tugas khas di JPM.

Lihat Komen
ADS