'Captain America' hadiahkan perisai buat budak berani
Bintang filem Avengers yang membawa watak Captain America, Chris Evans mengumumkan akan menghadiahkan perisai asli adiwira itu kepada seorang kanak-kanak enam tahun Bridger Walker, atas keberaniannya.
Evans turut memberikan ucapan secara peribadi kepada Walker - yang cedera parah hingga memerlukan dua jam pembedahan dan menerima 90 jahitan di muka - selepas menyelamatkan adik perempuannya daripada serangan ganas seekor anjing.
“Ini Captain America. Saya baca kisah kamu. Saya lihat apa tindakan kamu dan pasti kamu sudah banyak kali mendengar ucapan sama sejak beberapa hari lalu.
“Tapi biar saya jadi individu yang seterusnya untuk memberitahu bahawa kamu adalah seorang adiwira, apa yang kamu lakukan sangat berani, tidak mementingkan diri serta adik perempuan kamu bertuah kerana memiliki kamu sebagai abangnya.
“Ibu bapa kamu mesti sangat bangga dengan kamu,” katanya melalui sebuah rakaman video yang dimuat naik oleh mak cik Walker di Instagram.

Evans, 39, berkata, dia akan cuba menjejak kediaman Walker untuk menghantar hadiah istimewa berkenaan.
“Saya akan jejak rumah kamu dan akan menghantar perisai asli Captain America kerana kamu berhak mendapatkannya,” katanya.
Terdahulu, CNN melaporkan, bapa Walker bertanya alasan mengapa dia bertindak melompat antara adiknya dengan anjing itu dan kanak-kanak itu menjawab: “Jika seseorang perlu mati, saya fikir itu adalah saya.”

Keberanian kanak-kanak terbabit turut mengundang perhatian aktres terkenal, Anne Hathaway.
“Saya bukan Avenger, tapi saya tahu siapa seorang adiwira apabila ternampak dia. Saya berharap dapat jadi berani seperti kamu.
“Semoga cepat sembuh. Hey Mark Ruffalo, adakah kamu perlukan rakan sepasukan?” katanya.
Keluarga Walker berkata, beberapa barisan pelakon terkenal lain seperti Mark Ruffalo, Tom Holland, Hugh Jackman, Zachary Levi, adik-beradik Russo dan Robbie Amell turut tampil menghubungi mereka.

