Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Al Jazeera tiada lesen pengeluaran filem, kata Finas
Diterbitkan:  Jul 20, 2020 7:35 PM
Dikemaskini: 11:35 AM

Stesen berita antarabangsa Al Jazeera beribu pejabat di Doha, Qatar, tidak mempunyai lesen pengeluaran filem di negara ini, kata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Menurut agensi itu lagi, Al Jazeera juga tidak mengemukakan permohonan surat perakuan penggambaran semasa menyiapkan dokumentari Locked Up in Malaysia’s Lockdown baru-baru ini.

"Hasil daripada siasatan awal, Finas mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai lesen pengeluaran filem dan tiada permohonan surat perakuan penggambaran bagi penggambaran dokumentari tersebut," kata Finas dalam satu kenyataan hari ini.

Al Jazeera menjadi perhatian ramai apabila baru-baru ini menyiarkan dokumentari berbahasa Inggeris mengenai cara kerajaan Malaysia mengendalikan warga asing semasa berdepan wabak Covid-19.

Ia mengundang kritikan pihak berkuasa dan dianggap berat sebelah kerana memberikan laporan negatif terhadap kerajaan.

Untuk rekod, sebelum ini Al Jazeera menjadi rujukan masyarakat antarabangsa kerana laporan mereka mengenai konflik di pelbagai negara, termasuk operasi Desert Fox di Iraq pada 1998.

Bukit Aman sudah memanggil enam kakitangan stesen berkenaan untuk memberi keterangan pada 10 Julai lalu.

Kata Finas dapatan itu diperolehi selepas mereka menyiasat Al Jazeera International (M) Sdn Bhd.

"Finas akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk dalam menjalankan siasatan terhadap Al Jazeera mengikut Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan 2013) kerana menjalankan aktiviti perfileman iaitu menjalankan aktiviti pengeluaran filem dokumentari tanpa lesen yang sah daripada Finas," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS