Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sharnaaz, Nabila sah bercerai
Diterbitkan:  Jul 22, 2020 4:07 PM
Dikemaskini: 2:54 PM

Pelakon Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila sah bercerai 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Perkara itu disahkan, Noor Nabila sendiri.

Noor Nabila yang juga ahli perniagaan dan merupakan kakak kepada pengacara terkenal Neelofa, menyifatkan keputusan itu dibuat dengan hati terbuka selain akur pada ketentuan Ilahi.

"Saya bersyukur sebab proses ni berjalan dalam keadaan baik. Justeru, kami terima dengan hati terbuka serta akur ketentuan Allah SWT.

"Kami anggap apa yang berlaku disebabkan jodoh kami tak panjang dan tak pernah terfikir jodoh kami sampai di sini saja.

"Mana ada orang kahwin nak bercerai," katanya.

Nabila berharap dia dan Sharnaaz boleh bekerjasama dengan baik untuk membesarkan satu-satunya anak mereka iaitu Jebat Jayden.

"Itu yang paling penting. Jayden tak perlu terkesan dengan apa yang terjadi antara kami.

"Kalau kami berdua boleh uruskan dengan baik, insya-Allah. Saya akan cuba apa terbaik untuk anak saya," katanya.

Bagaimanapun, katanya, perceraian tidak bermaksud dia bermusuh dengan pelakon Juvana itu malah mereka sering bertukar-tukar pendapat serta berkawan.

"Kami berkawan dan banyak berborak bertukar pendapat dengannya. Kami tak bermusuh.

"Ketika Sharnaaz datang jumpa anak, saya akan duduk sekali dan melayannya seperti kawan.

"Saya cuba jadi ibu yang terbaik dan ingin berterima kasih kepada Sharnaaz," katanya yang mengakui masih dalam proses belajar apa yang terbaik untuk anak mereka.

Kata Nabila, Sharnaaz menunjukkan sifat seorang ayah yang baik apabila setiap hari tanpa gagal datang melawat Jebat.

"Sharnaaz seorang ayah yang bagus. Hari-hari dia datang untuj luangkan masa dengan anaknya. Perkara tu sudah buat saya sangat gembira.

"Siapa lagi nak sayang anak kita betul-betul kalau bukan kami berdua," katanya.

Terdahulu, mahkamah menerusi Seksyen 47 (14) dan Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 mempunyai kuasa melantik dalam kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua pihak iaitu dua penimbang tara (hakam) yang mempunyai maklumat berkaitan isu rumah tangga pemohon dan defendan selepas pasangan berkenaan gagal mencari kesepakatan.

Sementara itu, Sharnaaz berkata, jodoh adalah rahsia Tuhan, justeru, dia menerima setiap yang berlaku sebagai ketentuan-Nya.

“Kita manusia hanya merancang dan mungkin juga saya bukan seorang suami yang bagus,” katanya melalui IGTV hari ini.

Bagaimanapun, kata Sharnaaz, dia tetap bersyukur kerana walaupun sudah berpisah, dia masih mendapat pelepasan daripada Nabila untuk menjenguk anaknya.

Katanya, dia akan mengggunakan peluang itu untuk menjadi bapa yang baik kepada Jebat.

“Saya tak akan biarkan Jebat rasa dia kehilangan bapa dan tak ada sebab nak ambil kesempatan daripada peluang yang diberikan Nabila.

“Walau bagaimana sibuk atau sakit sekalipun saya tak akan tertinggal daripada bertemu dia. Insya-Allah saya akan cuba berada di sampingnya sampai akhir hayat,” katanya.

Pasangan tersebut berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat yang bakal menginjak usia dua tahun Ogos ini.

Lihat Komen
ADS