Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sugu didakwa di mahkamah atas tuduhan cederakan Pavithra

Selepas dituduh memiliki senjata berbahaya pagi tadi, suami seorang Youtuber sensasi didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh petang ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Selasa lepas.

Tertuduh, M. Sugu, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan, Sugu yang merupakan bekas pekerja sebuah ladang estet di Sungai Siput didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan di bahagian bibir, pipi sebelah kiri dan lengan sebelah kanan isterinya, S. Pavithra, 28, dengan menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak antara 4 hingga 5 petang, 21 Julai lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 manakala peguam Mahinderjit Singh yang mewakili Sugu merayu jaminan rendah atas alasan tertuduh telah dikenakan jaminan RM10,000 bagi pertuduhan pagi tadi.

Mahinderjit turut memohon jaminan rendah kerana isteri tertuduh, Pavithra telah menarik balik laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Sungai Senam, pada Rabu lepas (22 Julai) selain mempunyai dua anak yang masih kecil.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Ogos sebagai sebutan semula kes.

Pagi tadi, Sugu didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66.040 cm (26 inci) bertulis Tiger di parkir Wad Paliatuf PCU hospital sama, hari yang sama pada kira-kira 6 petang.

Sugu kemudian tiba di mahkamah sekali lagi pada kira-kira 3 petang tadi dengan memakai kemeja-T berwarna merah dalam keadaan bergari untuk menghadapi pertuduhan kedua.

Pavithra, yang baru-baru ini menerima pengiktirafan Ikon Anak Bandar Raya Ipoh Tahun 2020 oleh Majlis Bandaraya Ipoh, turut hadir berbaju kuning dan dilihat berhubungan baik bersama suaminya itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS