Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Finas rasa tercabar filem cetak rompak dijaja di platform e-dagang
Diterbitkan:  Aug 4, 2020 7:59 PM
Dikemaskini: 12:52 PM

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berasa tercabar apabila masih ada pihak didapati berani bertindak menjual filem-filem cetak rompak secara terbuka.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata pihaknya kini sedang membuat siasatan berhubung kegiatan penjualan filem tempatan yang dicetak rompak di platform e-dagang.

“Kita (Finas) rasa tercabar apabila mereka secara terbuka menjual filem cetak rompak itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut pengarah dan pelakon berkenaan, Finas akan memberi tumpuan kepada pihak e-dagang dan juga mereka yang menjual filem-filem cetak rompak di platform terbabit.

“Kami akan menyiasat dua pihak iaitu pihak e-dagang dan mereka yang menjual filem-filem tersebut,” katanya.

Untuk rekod, kenyataan itu dikeluarkan selepas dua filem terbitan Astro First iaitu Keluarga Iskandar The Movie dan Ada Apa Dengan Dosa (AADD) dicetak rompak dan dijual secara terbuka di platform e-dagang berkenaan.

Pada masa sama, Ahmad Idham menjelaskan Finas juga kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak terbabit yang menjual filem-filem cetak rompak secara digital.

Pengarah Impak Maksima itu berkata, siasatan dilakukan bagi memastikan sama ada golongan terbabit mempunyai lesen pengedaran atau tidak, dan adakah sudah mendapat kebenaran pihak penerbit untuk menjual filem-filem tersebut.

“Berdasarkan laporan yang kami terima, mereka tidak mendapat kebenaran dari penerbit untuk menjual filem-filem tersebut,” katanya.

Ahmad Idham, 46, menjelaskan Finas akan mendapatkan maklumat daripada pihak-pihak e-dagang berkenaan sama ada mereka mengetahui bahawa produk dijual itu asli atau tidak.

“Kami nak tahu sama ada platform e-dagang berkenaan tahu atau tidak bahawa produk-produk yang dijual itu setengahnya adalah produk cetak rompak,” katanya.

Lihat Komen
ADS