Putrajaya melarang penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel, manakala Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggalakkan penggunaan aplikasi tempatan TuJu sebagai alternatif.

Larangan itu dipercayai berkaitan dengan asal usul anak syarikat Google berkenaan di Israel.

Menurut Anwar, penggunaan Waze menimbulkan risiko terhadap keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat kerana aplikasi itu terikat di bawah undang-undang kerajaan Israel.

"Sehubungan itu, penggunaan aplikasi tempatan Tuju, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), digalakkan sebagai alternatif.

"Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat.

"Justeru, Kerajaan memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan MyKad sebagai kredensial fizikal dan MyDigital ID bagi urusan digital, disokong perlindungan siber yang lebih ampuh termasuk persediaan menghadapi ancaman masa hadapan melalui kriptografi pasca-kuantum (PQC)," katanya pada hantaran di media sosial.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar memperincikan arahan berkenaan menerusi surat bertarikh semalam yang dilihat Malaysiakini.

"Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang bersidang pada 20 Oktober 2026 dan dipengerusikan oleh YAB Perdana menteri telah memutuskan berhubung dengan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze yang berpengkalan di negara Israel dalam kalangan anggoa perkhidmatan awam," menurut surat itu.

Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) di bawah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, ditetapkan sebagai agensi penyelaras pelaksanaan arahan itu.

Kaitan Waze dengan Israel bukan perkara baru bagi rakyat Malaysia.

Pada 2024, pengguna di seluruh dunia, termasuk Malaysia, melaporkan gangguan teknikal yang menyebabkan bahasa paparan aplikasi itu tiba-tiba bertukar kepada bahasa Ibrani.

Insiden itu menyebabkan sejumlah pengguna meluahkan kebimbangan di media sosial, malah ada yang memilih untuk memadam aplikasi tersebut daripada peranti mereka.

Pada 7 Okt lalu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil menggesa kerajaan mempertimbangkan sekatan terhadap Waze di negara ini selepas meneliti terma penggunaannya yang dikemas kini pada 8 Julai.

Dalam kenyataan, Siraj berkata terma terkini itu menyatakan perkhidmatan Waze disediakan oleh Waze Mobile Ltd, syarikat yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel serta beralamat di Tel Aviv.

Menurutnya, walaupun Google mengambil alih Waze pada 2013, terma penggunaan dan dasar privasi terkini masih menamakan syarikat berpangkalan di Israel itu sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan dan data pengguna.

Dasar privasi Waze membolehkan aplikasi itu mengumpul maklumat lokasi, laluan perjalanan, destinasi, sejarah carian dan butiran peranti pengguna, bergantung pada tetapan mereka.

Al Jazeera sebelum ini melaporkan bahawa data sedemikian, apabila dihimpunkan daripada ramai pengguna sepanjang suatu tempoh, mempunyai nilai dari sudut keselamatan kerana boleh mendedahkan corak pergerakan, waktu puncak dan perubahan luar biasa.

Awal bulan ini, Iraq turut dilaporkan merancang untuk menyekat Waze menjelang akhir tahun atas alasan kaitannya dengan Israel.

Penggunaan ciri amaran Waze untuk mengelak sekatan jalan raya turut dibangkitkan dalam perbincangan keselamatan di negara itu.

Kementerian Komunikasi Iraq kemudian memaklumkan Waze akan digantikan dengan aplikasi tempatan yang namanya belum diumumkan.