Penyanyi Bidadari Tak Bersayap, Anji, mengundang kontroversi di Indonesia apabila memuat naik temu bual dia dan individu digelar profesor yang mengakui menemui penawar Covid-19.

Video berjudul Bisa Kembali Normal? Ubat Covid-19 Sudah Ditemukan (Bahagian 1) tersebut dimuat naik melalui saluran YouTube milik Anji, iaitu Dunia Manji hasil perbincangannya dengan lelaki dikenali Hadi Pranoto pada 31 Julai lalu.

Video yang didakwa mengandungi banyak fakta mengelirukan berhubung SARS-CoV-2 dan Covid-19 itu bagaimanapun sudah dipadamkan.

Antara aspek yang menjadi perhatian dan kritikan ialah kredibiliti serta latar belakang akademik Hadi yang dirujuk sebagai profesor dan doktor oleh Anji sepanjang sesi wawancara berlangsung.

Justeru, Kementerian Penyelidikan, Teknologi dan Inovasi Indonesia memohon orang ramai berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan berhubung sebarang ubat berasaskan herba antibodi yang didakwa boleh mengekang Covid-19.

Pegawainya, Ali Ghufron, berkata masyarakat juga perlu bijak menilai jika terdapat sebarang ubat herba yang didakwa mengubati Covid-19 tetapi bukan dikeluarkan secara rasmi atau dibenarkan oleh badan penyelia dan perubatan negara terbabit.

Katanya, secara umum, sebarang ubat harus melepasi kaedah penelitian dan ujian klinikal selain sesuai dengan protokol dipersetujui Agensi Penguatkuasa Ubat-ubatan.

Padam lepas jumpa doktor

“Saya menyeru agar masyarakat lebih berhati-hati dengan sebarang dakwaan ubat herba yang kononnya boleh mencegah Covid-19,” katanya dipetik CNN Indonesia.

Sementara itu Jabatan Siasatan Jenayah Polis Daerah Metro Jaya pula memberitahu mereka akan memanggil Anji - atau nama sebenarnya Erdian Aji Prihartanto - dan Hadi untuk siasatan.

Langkah itu diambil selepas wawancara berkenaan diadukan oleh Pengerusi Cyber Indonesia, Muannas Alaidid.

Anji - yang turut terkenal melalui lagu Dia - kemudian meminta maaf atas hantaran wawancara berkenaan dan mengakui ia mengundang polemik yang tidak perlu.

Permohonan maaf Anji dibuat melalui Instagram selepas bertemu dengan tiga doktor sebenar, iaitu dua wakil Rangkaian Doktor Muda Indonesia dan Ikatan Doktor Indonesia.