Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Amelina alih selera dari dangdut ke balada
Diterbitkan:  Aug 8, 2020 4:00 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Buat julung kali, Amelina mencipta sejarah tersendiri dengan melancarkan genre balada berjudul Ada Untukmu selepas 27 tahun bergelar penyanyi dangdut.

Idea penghasilan lagu dicipta sepenuhnya Aepul Roza itu tercetus berikutan persetujuan bersama Amelina dengan pihak pengurusan, MindOrder Management bagi menghidangkan karya berbeza yang berani buat peminat dan penggemar muzik tempatan.

Menurut Amelina, keberanian untuk merakamkan lagu balada itu bertitik-tolak daripada respons positif yang diterimanya ketika menyertai pertandingan nyanyian popular, Gegar Vaganza musim kelima (GV5) pada 2018.

“Ketika menyertai GV5, saya menerima tugasan mingguan untuk menyampaikan pelbagai genre lagu dan alhamdulillah pada ketika itu, kesemua lagu berlainan genre daripada kelaziman saya iaitu dangdut berjaya disampaikan dengan baik dan digemari ramai.

“Malah, ramai yang sering bertanya jika saya mahu mencuba genre berbeza selain dangdut untuk projek lagu baharu seperti pop atau balada,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut penyanyi lagu Asyik itu, syarikat pengurusan juga berpendapat tidak salah jika dia cuba mencabar diri dengan genre berbeza kerana mereka sudah lihat sejauh mana kemampuannya.

“Dari situ kami mencari pelbagai lagu yang bersesuaian sehinggalah mendapat demo lagu ini yang begitu melekat di hati saya pada kali pertama mendengarnya.

“Kami putuskan untuk mencuba sehingga lahirlah Ada Untukmu pada hari ini,” katanya.

Amelina yang mempunyai lebih 15 lagu hit dangdut itu berharap kelainan dan keberanian yang disajikan pada lagu terbaru tersebut boleh mendapat tempat di hati peminat dan masyarakat.

“Ia hadiah unik kepada penyokong selama ni,” katanya.

Lihat Komen
ADS