Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Baca buku dulu, malang tak berbau - pesan Simon Cowell
Diterbitkan:  Aug 10, 2020 4:21 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Penerbit program televisyen berpengaruh, Simon Cowell, menitipkan pesanan untuk sesiapa yang ingin bersenam menggunakan basikal elektrik buat pertama kali.

Nasihatnya mudah, iaitu cuma perlu membaca dulu buku panduan sebelum menggunakan peralatan tersebut.

“Jika beli basikal elektrik, sila baca dulu manual sebelum kamu menunggangnya untuk kali pertama.

“Disebabkan hal itu, sebahagian daripada tulang belakang saya retak. Terima kasih untuk mesej sokongan anda semua.

“Tak lupa terima kasih saya kepada doktor dan jururawat. Mereka antara individu baik hati yang pernah saya temui. Semoga kekal selamat semua orang,” katanya di Instagram.

Terdahulu, Cowel dilaporkan terpaksa menjalani pembedahan akibat mengalami keretakan serius pada bahagian belakangnya selepas terjatuh dari basikal elektrik, semalam.

Insiden itu berlaku di kediamannya di Malibu, California. Menurut jurucakap Cowell, anak personaliti yang terkenal sebagai pencipta dan juri program televisyen popular seperti The X Factor dan Britain’s Got Talent itu, Eric, ada bersamanya ketika kemalangan berlaku.

Eric baru berusia enam tahun.

Mogul penerbitan program realiti itu dilaporkan berada di bilik pembedahan selama enam jam untuk menjalani beberapa prosedur termasuk memasukkan besi pada bahagian belakangnya.

Cowell juga terpaksa ditahan beberapa hari di hospital untuk proses pemulihan selain tidak akan menyertai program America's Got Talent yang sedang berlangsung dalam masa terdekat.

Namun, kesihatan Cowell, 60, kini dilaporkan stabil.

Jurucakapnya berkata Cowell sebenarnya terbabit dalam kecederaan parah, bagaimanapun, doktor menyifatkan dia seorang yang bernasib baik.

Menurut jurucakapnya lagi, selepas terjatuh, Cowell dibawa ke hospital dan menjalani rawatan sepanjang malam.

“Dia diletakkan di bawah pemerhatian dan keadannya kini stabil,” katanya.

Lihat Komen
ADS