Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pemain gitar, Eddy maut akibat renjatan elektrik

Polis mengesahkan pemain gitar profesional, Eddy Wan Othman, 30, meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian tersebut berlaku di rumah Allahyarham di Batu 11 Jalan Lama malam kelmarin.

Kaatnya, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 11 malam memaklumkan mangsa dan kakaknya yang berusia 32 tahun terbaring dalam bilik air di rumah berkenaan.

"Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun turut ditemui dalam keadaan lemah dan dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," katanya lapor Sinar Harian.

Siasatan awal mendapati kakak pemain gitar itu sedang memandikan anaknya dan tiba-tiba terkena renjatan elektrik yang dipercayai dari 'water heater'.

"Adik lelakinya yang kebetulan berada di rumah itu terdengar jeritan meminta tolong daripada kakaknya dan terus bergegas ke bilik air untuk membantu, namun dia juga turut terkena renjatan elektrik," katanya.

Arifai memaklumkan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Berita sedih berkenaan turut dimaklumkan oleh abang mangsa, Wan Razmie Wan Othman menerusi Facebook.

"Dukacita dimaklumkan bahawa kedua Adinda saya, Wan Zunira dan Eddy Wan Othman sudah berpindah alam menghadap Ilahi malam tadi (kelmarin)," tulisnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS