Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tak nak terikat dengan bank buat Masya beli rumah secara tunai

“Bukan berlagak, tapi sekadar beri inspirasi sebab tak mustahil remaja 19 tahun mampu beli rumah bernilai RM300,000 secara tunai,” demikian luah penyanyi Masya Masyitah berhubung perkongsian maklumat unit hartanahnya di YouTube.

Kata Masya, apa cuba diketengahkan dalam klip video berkenaan bukannya untuk menunjuk-menunjuk kemewahan sebaliknya sekadar menyatakan bahawa bukan orang dewasa saja mampu membeli rumah sendiri.

“Jangan ingat orang dah berumur saja boleh beli rumah, muda-mudi juga boleh kalau mereka berusaha untuk mendapat apa yang diinginkan,” katanya.

Menurut pemilik nama asal Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff itu, rumah tersebut dimiliki selepas dia berhempas-pulas mengumpul wang melalui pertandingan nyanyian yang disertainya sejak di bangku sekolah rendah.

“Saya kumpul wang sejak berumur sembilan tahun. Mungkin dah beratus-ratus pertandingan saya sertai, hadiah paling tinggi nilainya bawah RM5,000.

“Hinggalah akhirnya penghujung tahun lalu baru saya berjaya menunaikan impian untuk memiliki sebuah rumah yang dibeli secara tunai,” katanya.

Masya berkata, wang untuk membeli rumah berkenaan dikumpul melalui pertandingan nyanyian semata-mata dan tidak termasuk hasil perniagaan kek dan popia yang baru diusahakan tahun ini.

Masya ditemui pada sidang media kempen Malaysiaku, Kita Selamat Bersama bersempena bulan kemerdekaan di bawah kendalian Astro di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, Juara Ceria Popstar 2014 itu memuat naik perkongsian berhubung rumah baru dibeli di saluran YouTube miliknya, Masya Masyitah.

Penyanyi fasih berbicara dan menyanyi dalam bahasa Mandarin itu berkata, amalan tidak suka berhutang juga menyebabkan dia mengambil keputusan untuk membeli rumah tanpa terikat kepada syarat pinjaman bank.

“Seboleh-bolehnya jika sukakan sesuatu, saya akan beli secara tunai sebab saya tak suka berhutang, nanti nak kena bayar bunga lagi rugi, selain susahkan diri sendiri di kemudian hari.

“Baik saya kumpul sedikit demi sedikit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, penerima Asia Music Awards di Shenzhen, China itu berkata, dia dijadual mengadakan konsert My Sista secara duet bersama penyanyi tempatan, Jeryl Lee, pada 11 Sept nanti.

“Ini kali ketiga akan adakan konsert dengannya di Arena Of Stars, Genting.

“Kami sebelum ni pernah berkolaborasi menyanyi lagu The Left Shouldres yang diterbitkan Kedutaan China sempena ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan republik tu,” katanya.

Lihat Komen
ADS