Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nobody, nasihat Faizal Tahir untuk diri sendiri

Kredibiliti Faizal Tahir sebagai penyanyi dan komposer lagu tidak perlu disangkal lagi apabila dia sering menjadi idola kebanyakan generasi baru dalam bidang penciptaan mahu pun nyanyian.

Satu kelebihan figura tersebut yang sudah berada 15 tahun dalam arena muzik tempatan adalah apabila karya-karya dilahirkannya sarat mesej berguna bukan saja untuk diri sendiri tapi pendengar dan masyarakat.

Tidak kira genre lagu disampaikan pada setiap karya, Faizal biasanya tidak sukar untuk memikat peminat muzik tempatan apatah mencipta fenomena tersendiri.

Terbaru, pemilik nama penuh Ahmad Faizal Mohd Tahir itu hadir dengan lagu Nobody sebagai mengetengahkan mesej buat diri sendiri dan orang sekeliling.

“Apa cuba nak disampaikan dalam lagu ini sebenarnya untuk diri saya sendiri terlebih dulu, yang mana saya ini ‘nobody’ tanpa ‘somebody’ yang saya boleh beri dan curahkan kasih sayang.

“Selain mendedikasikan rasa cinta dalam diri saya kepada-Nya, menjaga dengan baik dan jujur, ikhlas kerana Allah SWT. Sebab apabila buat macam tu barulah dapat hadiah teragung iaitu bersamanya di syurga nanti.

“Justeru, pada saya keunikan lagu ini adalah mesej. Sebab muzik adalah muzik. Kita boleh berikan pelbagai jenis muzik yang sedap didengar, tapi apa yang penting adalah mesej yang ingin disampaikan,” katanya.

Menurut Faizal, 41, lagu itu mempunyai mesej lain daripada yang lain pernah disampaikan sebelum ini.

Seperti kebanyakan karya lain juga, lagu ini sekali lagi menyaksikan kerjasama Faizal bersama beberapa komposer iaitu Firdaus Rahmat, Mas Dewangga, Mage dan Mike Chan.

Menurut penyanyi lagu Aku Punya Kamu itu, dia selesa bekerja dalam pasukan kerana dapat berkongsi banyak idea sekali gus dapat melahirkan sebuah karya yang terbaik dan unik.

Nobody adalah lagu modern power ballad. Sebab sekarang ini pun muzik sudah lain. Komposer yang bersama saya dalam penghasilan lagu ni juga mereka yang sedang meningkat naik dan banyak lagu mereka sudah keluar di radio. Kalau nak tahu, ni memang cara saya bekerja yang mana kami buat bersama-sama dan terbitkan.

“Saya rasa tak ada masalah bekerja dengan banyak kepala. Sebab sudah biasa. Macam ketika mula nak menjadi komposer saya sudah biasa kerja sendiri, seterusnya berdua dan bertiga.

“Tapi, saya sedar apabila bekerja dalam kumpulan atau pasukan kita lagi kuat, idea banyak dan berbeza terutama bekerja dengan orang mempunyai pengalaman lain. Macam saya sudah tua, jadi dapat berkongsi idea baru daripada orang baru dan anak muda,” katanya.

Bagi penyanyi yang turut terkenal melalui lagu Ragaman itu, setiap orang diberikan kelebihan dan idea berbeza, justeru, apa yang penting semua individu sangat terbuka, bertolak ansur dan boleh menerima idea masing-masing.

“Malah boleh terima apa saja perubahan yang kita buat apabila bekerjasama. Jadi, sebenarnya bekerja dalam kumpulan lebih senang,” katanya.

Faizal berharap mesej yang disampaikan dalam lagu itu akan dapat memberi manfaat bukan saja buat dirinya tapi semua orang.

“Harapan saya setiap kali keluar lagu, mestilah mesej yang disampaikan diterima dan dihadam dengan baik. Paling penting dapat memberi manfaat kepada orang yang mendengar dan memahaminya.

“Harapnya kepada diri saya dulu dan orang lain yang mendengar menjadi orang yang lebih baik,” katanya.

Lihat Komen
ADS