Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sambutan pratayangan Mulan muram di China
Diterbitkan:  Sep 9, 2020 10:11 PM
Dikemaskini: 2:11 PM

Filem Mulan terbitan Walt Disney Pictures memperoleh jumlah kutipan yang mengecewakan pada hari pembukaannya di China sedangkan naskhah itu dijangka meraih kutipan pecah panggung di negara berkenaan.

Menurut aplikasi yang mengesan kutipan filem berpengaruh di China, Maoyan, kutipan tiket awal untuk tayangan pembukaan pada 11 Sept hanya meraih AS$307,000 (RM1.2 juta) selepas sehari prajualan dibuka.

Maoyan menjangkakan jumlah kutipan pada hari pembukaan filem tersebut sepatutnya adalah 2.3 juta yuan (RM1.4 juta).

Angka tersebut dianggap lemah jika dibandingkan dengan prajualan dua filem hit buatan tanah besar baru-baru ini iaitu kisah epik World War II, The Eight Hundred dan kisah romantik, Love You Forever.

Menurut Maoyan, kutipan tiket pratayangan Love You Forever ialah sebanyak 140 juta yuan (RM (85.2 juta) manakala pada hari pembukaannya - bertepatan dengan Hari Valentine Cina - sebanyak 250 juta yuan (RM152.2 juta).

The Eight Hundred meraih 27 juta yuan (RM16.4 juta) pada pratayangan dan 130 juta yuan (RM79.2 juta secara keseluruhan untuk hari pembukaannya pada 21 Ogos lalu.

Mulan terpalit dengan kritikan dan ulasan buruk daripada penonton China yang menyaksikan filem berkenaan sama ada dari luar negara atau melalui versi cetak rompak dalam talian.

Filem itu menerima skor 4.7 daripada 10 dalam laman pengkadaran Douban.

Penonton mendakwa filem terbabit merosakkan budaya China. Gesaan untuk memboikot Mulan berlaku selepas beberapa babak didapati dirakam di wilayah Xinjiang, tempat kontroversi yang didakwa berlaku penindasan ke atas penduduk Muslim.

Sebelum kontroversi Xinjiang berlaku, tanda pagar #BoycottMulan juga menjadi sohor kini di Hong Kong, Thailand dan Taiwan selepas bintang utama Mulan, Liu Yifei, menyatakan sokongannya terhadap polis Hong Kong.

Filem versi baru berdasarkan animasi 1998 itu menceritakan kisah legenda seorang wanita yang menyamar sebagai lelaki untuk menyelamatkan bapanya daripada menyertai tentera.

Akibat wabak Covid-19 yang menular, Mulan terlepas tayangan perdana pada Mac lalu. Sebaliknya, Disney mengumumkan filem itu akan disiarkan di wilayah Disney+ boleh didapati termasuk di AS.

Bagaimanapun, ia tetap ditayangkan di pawagam bagi lokasi yang tidak terdapat Disney+ seperti di China.

Mulan adalah versi baru filem aksi langsung daripada Disney yang mengadaptasi animasi klasik dengan belanja AS$200 juta (RM834.3 juta) dan disifatkan antara karya paling mahal.

Lihat Komen
ADS