Pelakon veteran Mohd Idris Mohd Diah atau lebih dikenali sebagai Idris Mat Diah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2.30 pagi pada usia 61 tahun.

Menurut anak arwah, Alia, ayahnya tidak sedarkan diri sekitar jam 2 pagi dan apabila pihak ambulans tiba, Allahyarham disahkan sudah meninggal dunia setengah jam kemudian.

“Ayah dua tiga hari ni tak mempunyai selera makan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dia juga memohon sekiranya arwah ada berhutang pada sesiapa agar menghubungi pihak waris bagi membincangkan perkara itu.

“Saya mohon jika ada ayah ada hutang sesiapa untuk hubungi saya,” katanya.

Sementara itu, memetik Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Hanafiah, jenazah Allahyarham dalam perjalanan dari Putrajaya ke kediaman di Kepong.

“Proses menguruskan jenazah akan dilakukan di Masjid Al-Faizin, Desa Jaya, Kepong, dan akan dikebumikan di tahan Perkuburan Islam, Tamah Ihsan, Bukit Lagong sebelum solat Zohor,” katanya.

Semasa hayatnya, Idris antara pelakon veteran yang aktif menjayakan pelbagai drama tempatan. Arwah yang sinonim dengan karakter bapa dan datuk itu pernah muncul dalam drama seperti Cucu Tauke Beras, Menantu Bilal, Andainya Takdir dan Zahir Tak Terucap.

Allahyarham juga pernah membintangi filem Janin yang ditayangkan di layar perak pada 23 Disember 2010.

Selain itu, arwah pernah berkhidmat sebagai pustakawan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).