Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Akshay Kumar teguk kencing lembu tiap hari demi Covid-19
Diterbitkan:  Sep 15, 2020 9:41 AM
Dikemaskini: 4:37 AM

Bintang Bollywood Akshay Kumar mempunyai keyakinan tersendiri untuk mengelak daripada jangkitan Covid-19.

Dia memilih untuk meminum air kencing lembu pada setiap hari.

Memang setakat ini belum ada bukti mengenai khasiat air kencing haiwan berkenaan mempunyai khasiat atau baik untuk kesihatan, namun sejumlah ahli politik dari sayap kanan nasionalis Hindu ada berkempen untuk menggunakan tahi dan air kencing lembu bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Kumar, 53, sendiri merupakan seorang daripada penyokong setia parti nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP).

AFP melaporkan, Modi menyediakan jutaan dollar AS untuk melakukan uji kaji ke atas bahan kumuh lembu untuk dijadikan produk yang mampu mengubati pelbagai penyakit termasuk kencing manis, kanser dan Covid-19.

Kumar pernah tampil dalam sebuah program televisyen yang dikendalikan Bear Grylls. Dalam rancangan tersebut dia meminum teh yang diperbuat daripada bahan kumuh gajah di sebuah taman negara di India.

"Saya tak ada masa untuk berasa bimbang. Saya meminum air kencing lembu disebabkan amalan ayurveda, jadi tiada masalah," ciap Kumar dalam akaun Twitter.

Kumar pernah muncul dalam lebih 100 filem selain memenangi beberapa anugerah seperti Anugerah Filem Kebangsaan bagi kategori aktor terbaik melalui Rustom dan Airlift. Kedua-dua naskhah ditayang pada 2016.

Suami aktres dan penerbit filem Twinkle Khanna itu juga pernah menerima Anugerah Padma Shri oleh kerajaan India atas pencapaiannya dalam perfileman.

Ayurveda merupakan kaedah perubatan alternatif dari India.

Penganut Hindu memang percaya bahawa lembu merupakan makhluk suci dan meminum air kencing haiwan tersebut dipercayai boleh mengubati penyakit selain membawa khasiat untuk kesihatan.

Setakat ini, seramai 4.6 juta rakyat India dilaporkan positif Covid-19 manakala 76,000 orang meninggal dunia akibat virus tersebut.

Di tengah-tengah situasi pandemik, Modi membentuk kementerian khusus untuk ayurveda dan yoga.

Orang nombor satu di India itu juga pernah menyuarakan amalan yoga boleh membantu membentuk pelindung diri untuk mencegah Covid-19.

Lihat Komen
ADS