Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sharnaaz syukur, Nabila harap tak perlu ke mahkamah lagi
Diterbitkan:  Sep 17, 2020 4:35 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Kemelut rumah tangga Sharnaaz Ahmad dan bekas isterinya, Noor Nabila Mohd Noor, menemui penghujung selepas kedua-dua mereka bersetuju dengan tuntutan yang dimeterai di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini.

Tuntutan dibuat melalui surat ditandatangani kedua-dua pihak membabitkan isu tuntutan nafkah edah, hadanah atau hak penjagaan dan nusyuz itu dibacakan di hadapan hakim Mohamed Fauzi Mokhtar.

Dalam prosiding tersebut, peguam Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Nabila selaku plaintif berkata pihak defendan (Sharnaaz) bersetuju memberi nafkah edah sebanyak RM500 selama tiga bulan.

“Selain itu, defendan juga bersetuju untuk memberi nafkah anak sebanyak RM1,200 sebulan.

"Hak penjagaan anak turut diberikan kepada Nabila termasuk memberi kebenaran kepada Sharnaaz berjumpa anak mereka serta tuntutan nusyuz dibatalkan.

“Nabila juga bersetuju mengetepikan tuntutan mutaah kecuali sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail yang dipindah milik kepadanya," kata Zainul Rijal yang dipetik BH Online.

Peguam Ummi Kartini Abd Latif yang mewakili Sharnaaz turut mengesahkan dan bersetuju dengan terma dikemukakan.

Selepas terma dibacakan, Mohamed bertanya kepada Sharnaaz dan Nabila sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan perjanjian.

Akan terus berkawan

Mereka kemudian memperakuinya dan menerimanya secara sukarela.

Sementara itu, Nabila ketika ditemui meluahkan perasaan lega apabila proses tersebut berakhir dengan baik.

"Saya lega apabila proses perceraian dan hak penjagaan anak sudah selesai. Jadi tidak perlu saya datang ke mahkamah lagi, sebab perkara seperti ini mengambil tenaga kita dan memberi kesan kepada emosi.

"Jujurnya, saya terganggu, setiap kali hendak datang sini, saya berat hati. Insya-Allah, hari ini adalah kali terakhir saya datang ke sini.

"Alhamdulillah, semua sudah diselesaikan dengan baik. Saya dan Sharnaaz akan terus berbaik untuk anak kami," katanya.

Sharnaaz pula berkata, dia bersyukur kerana kes dengan bekas isterinya itu selesai selepas kedua-dua peguam berbincang dan bersepakat mencari jalan penyelesaian.

Menurut pelakon Darah Panas itu, keutamaannya sekarang ialah anak mereka, Jebat.

“Saya dan Nabila masih berkawan. Dulu pun kami asalnya berkawan. Saya hendak terus berkawan dengan dia. Kalau gaduh pun tidak guna kerana yang mendapat kerugian adalah Jebat," katanya.

Sharnaaz dan kakak pengacara dan pelakon Noor Neelofa itu bercerai pada 9 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki, Jebat Jayden yang berusia dua tahun.

Lihat Komen
ADS