Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana enggan dimadu A Aida tolak lamaran RM20 juta

Enggan berkongsi kasih dan dimadukan, A Aida mendakwa dia sanggup menolak “lamaran” bernilai RM20 juta daripada seorang lelaki yang ingin menjadikannya isteri nombor dua.

Kata penerbit drama popular itu, sememangnya dia akan menolak lamaran sedemikian kerana enggan mengambil risiko untuk jatuh hati pada seseorang yang berstatuskan suami orang.

“Sejujurnya, memang betul ada beberapa lelaki nak masuk meminang. Sampaikan ada seorang tu ingin melamar dengan buat transaksi wang RM20 juta ke dalam akaun saya sekiranya bersetuju berkahwin dengan dia.

“Tapi dia bukanlah orang bujang sebaliknya lelaki yang sudah berkahwin, dan dia mahu menjadikan saya sebagai isterinya yang kedua.

“Justeru, saya terpaksa menolak lamarannya itu secara baik,” katanya ketika ditemui pada majlis Mikaseries by Zoey Rahman di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur hari ini.

Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang itu berkata demikian ketika ditanya siapakah gerangan yang berjaya menambat hatinya selepas kembali solo sejak tahun lalu.

Dia mendakwa kejadian dilamar itu baru saja berlaku, iaitu sekitar tiga bulan lalu.

Katanya lelaki berkenaan berhasrat untuk menambah nilai wang tawarannya jika jumlah yang ditawarkan itu masih belum mencukupi.

Rasa tak layak bermadu

Bagaimanapun, tawaran berkenaan tetap ditolak Aida kerana yakin lelaki yang kaya-raya bukanlah kriteria calon suami yang dicarinya.

“Lebih selesa untuk berkawan saja sekarang, tapi dalam pada berkawan tu juga saya menjadi semakin terbiasa menjalani rutin kehidupan sekarang, pergi pejabat, balik rumah tulis skrip dan berehat tenangkan fikiran cari ilham di beranda.

“Namun, jika berjodohan, saya tak cari lelaki kaya pun. Cukuplah jika dia boleh membimbing saya dunia dan akhirat,” katanya.

Penerbit Andainya Takdir itu sebelum ini pernah berkahwin empat kali. Perkahwinan pertamanya ialah dengan vokalis kumpulan Spring, Ameng, pada 1994 dan rumah tangga mereka berkekalan selama sembilan tahun.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak perempuan, Wan Az Aleesa, 23, dan Wan Azevanatassha, 18.

Aida, 50, juga pernah berkahwin dengan seorang anggota polis, namun butiran mengenai perkahwinan keduanya itu tidak dijelaskan.

Dia kemudian mendirikan rumah tangga dengan seorang lagi anggota polis, Sufian Sulaiman, pada 2007, namun berpisah enam tahun kemudian. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rahul, 12.

Dan 18 Jun tahun lalu, Aida rasmi bercerai talak satu selepas 10 bulan mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ariff Aziz.

Bagi Aida, tidak wajar untuknya menjadi isteri nombor dua selepas bersusah-payah dia ‘memasang badan’.

“Macam mana pun, saya bagitau pada dia, saya tak rela dan tak suka bermadu sebab tak rasa layak dimadukan.

"Penat saya jaga badan, boleh kalah anak dara sebab pergi ke gim setiap hari. Takkan saya nak bermadu.

"Tapi kalau terjumpa lelaki bertubuh sasa atau sado, saya tak menolak, dia tak ada wang pun tak apa,” katanya sambil tertawa.

Lihat Komen
ADS