Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
BTS berucap di PBB
Diterbitkan:  Sep 23, 2020 1:53 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

Kumpulan K-pop dari Korea Selatan, BTS dijadual berucap di perhimpunan tahunan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) ke-75 berhubung kesulitan bakal dihidapi generasi akan datang akibat Covid-19, hari ini.

Jawatankuasa Korea untuk Unicef berkata, kumpulan dianggotai tujuh anak muda kegilaan ramai itu diundang oleh Group of Friends of Solidarity for Global Health Security.

"Mesej BTS diharapkan dapat disiarkan ke dunia pada pertemuan puncak Kumpulan Rakan Solidariti untuk Keselamatan Kesihatan Global pada 23 September jam 9 pagi," menurut Jawatankuasa Korea untuk Unicef, lapor Soompi.

The Group of Friends of Solidarity for Global Health Security adalah inisiatif yang dilancarkan oleh Korea Selatan pada tahun 2020 untuk membincangkan masalah keselamatan kesihatan, termasuk Covid-19.

Ia melibatkan 40 negara anggota PBB, dengan Korea Selatan, Denmark, Sierra Leone, Qatar, dan Kanada sebagai ketua bersama.

Ini kali kedua BTS diundang menjadi jurucakap di PBB.

Pada 2018, kumpulan berkenaan menjadi selebriti K-pop pertama berucap dan membuat rayuan di PBB untuk mendapatkan penyertaan generasi muda dalam menentukan masa depan dunia.

Ketua BTS, Kim Namjoon atau RM mewakili kumpulan berkenaan membantu melancarkan kempen Unicef dikenali sebagai Generation Unlimited dan menggariskan beberapa isu yang dihadapi generasi muda di seluruh dunia serta keperluan untuk mengambil tindakan segera.

BTS yang ditubuhkan pada 2013 dengan penampilan sulung mereka bertajuk No More Dream menduduki senarai selebriti paling berpengaruh Forbes Korea Selatan 2018.

Mereka juga muncul sebagai kumpulan K-pop pertama menduduki carta album Billboard 200 dan kini memiliki 30.4 juta pengikut di Instagram.

Ucapan BTS dalam sidang tersebut dianggap begitu berpengaruh bagi anak muda hingga diangkat menjadi subjek pelajaran sekolah di tiga negara, iaitu Korea Selatan, Singapura, dan Vietnam.

Sidang Majlis Umum PBB pada tahun ini disiarkan secara atas talian akibat pandemik Covid-19.

Penceramah bahkan tidak akan menyampaikan ucapan mereka secara langsung, tetapi melalui video yang dirakam.

Lihat Komen
ADS