Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zynakal luah perasaan kehilangan ibu
Diterbitkan:  Sep 27, 2020 5:30 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Pemergian ibu tersayang semestinya meninggalkan kesan mendalam kepada anak, dan itulah yang dirasai penyanyi dan komposer Zynakal melaluinya semalam.

Hari ini dia berkongsi perasaan kehilangan ibu menerusi Instagram Live.

Menurutnya, perkara paling sukar adalah melihat wajah ibunya kaku di bilik jenazah.

“Bahagian paling sukar adalah sebelum mereka mandikan (ibu), saya dalam bilik jenazah bersama arwah.

“Masa itu, saya tengok muka arwah dan terkejut kerana tak jangka melihat (wajah) ibu saya tanpa roh. Itu sebenarnya waktu paling sukar,” kata penyanyi lagu Sakit itu.

Ibunya Zuraida Ibrahim, 53, kembali ke rahmatullah akibat jangkitan kuman dalam darah serta komplikasi buah pinggang di Hospital Pakar Al Islam, Kampung Baru, kira-kira jam satu tengah hari semalam.

Arwah dibawa ke Masjid Taman Keramat sebelum dikebumikan.

Zynakal turut berpesan tentang pentingnya menghargai ibu bapa ketika mereka masih hidup.

“Sejujurnya sebelum mak pergi, saya tak pernah hargai dia, saya bukan anak yang baik, sampaikan kami pernah bergaduh, mak saya cakap kalau dia dah mati, jangan datang kubur dia.

“Betul orang-orang tua cakap, hargai ibu bapa kita selagi masih ada. Bila terjadi pada diri saya, baru terasa perasaan macam ini kehilangan orang tersayang,” kata pemilik nama Muhammad Raziq Rosli itu.

"Kehilangan ini (ialah tanpa) dapat berjumpa lagi...Kalau kita benci ibu bapa sebab apa yang mereka lakukan terhadap kita, kita mesti fikir mesti ada sebab yang baik kenapa mereka lakukannya,” katanya lagi.

View this post on Instagram

hargai dia ❤️

A post shared by ZYN AKAL (@zynakal) on

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS