Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti Saleha terpaksa tahan gelora rindu pada ibu gara-gara Covid-19

Terpaksa menahan rindu teramat sangat - demikian gelora perasaan dialami pelakon Siti Saleha apabila bukan dengan kemahuan fikirannya dia perlu menangguhkan hasratnya untuk bertemu ibu dan keluarga di England.

Semuanya gara-gara ancaman Covid-19 yang masih berleluasa di seluruh dunia.

Kata aktres itu, dia menyimpan hasrat untuk ke negara berkenaan untuk menziarahi keluarganya yang menetap di sana.

Namun tanpa berdaya - kerana wabak Covid-19 itu - dia terpaksa bersabar sehingga kekangan yang ada berakhir. Pada masa sama pemilik nama penuh Siti Saleha Mohd Baharom itu juga berharap kesihatan ibu dan keluarganya akan baik-baik saja.

“Secara mental memang timbul perasaan bimbang dan tertanya-tanya bilakah wabak Covid-19 akan berakhir.

“Justeru sebaik kebenaran diberikan untuk melawat ke sana nanti, perkara pertama saya akan buat adalah pergi berjumpa ibu,” katanya yang ditemui pada majlis penghargaan drama 7 Hari Mencintaiku 2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Siti Saleha, 30, sebenarnya memang menjadi kelaziman untuk dia melawat ibu dan kakaknya di England setiap tahun sebelum ini.

Cuma pada tahun lalu, katanya, dia pergi ke Croatia dan tahun ini pula menziarahi ibu dan kakaknya.

"Bayangkan dah dua tahun kami tak berjumpa,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon Jika Masih Ada Rindu itu berkata, mereka masih bernasib baik kerana dapat berhubung dengan adanya kemudahan teknologi dalam talian.

Sementara itu, mengulas drama 7 Hari Mencintaiku, Siti Saleha berkata, dia masih terkejut kerana dimaklumkan naskhah berkenaan akan diteruskan untuk musim ketiga tahun depan.

Katanya, dia perlu mempertimbangkan beberapa faktor sebelum memberi persetujuan terhadap ‘lamaran’ untuk menjayakan drama itu kali ini.

“Jika menerima tawaran untuk melakonkan drama, seseorang pelakon itu perlu memikirkan masa yang perlu dikorbankan. Bukan senang jadi pelakon terutama kadangkala perlu kerja lebih 12 jam sehari.

“Suami tak melarang untuk kerja, tapi seboleh-bolehnya saya akan membataskan diri daripada pulang ke rumah hingga lewat malam,” katanya.

Lihat Komen
ADS