Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Peguam: Shuib tidak ditahan atau direman
Diterbitkan:  Oct 3, 2020 7:05 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Tiada sebarang permohonan reman dikemukakan terhadap pelawak terkenal, Shuib yang baru-baru ini dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menurut peguamnya, Muhammad Fadhli M. Sutris.

Muhammad Fadhli berkata Shuib - yang juga usahawan dan juruhebah radio - hanya dipanggil untuk memberi keterangan dan telah memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Ingin kami sahkan di sini bahawa anak guam kami tidak pernah ditahan reman oleh pihak SPRM mahupun terdapat sebarang permohonan reman dibuat ke atasnya.

"Anak guam kami telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak SPRM sepanjang keterangannya diambil. Untuk makluman rakaman keterangannya telah diambil dan selesai pada hari yang sama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dia juga berkata Shuib tidak ditangkap dan dibenarkan pulang setelah proses mengambil keterangan selesai bersama-sama isterinya Siti Sarah Raisuddin yang hadir untuk menemaninya.

"Tiada sebarang tangkapan mahupun permohonan reman dibuat terhadap kedua-dua anakguam seperti yang telah dilaporkan beberapa media sebelum ini dan kesemua kenyataan yang bertentangan dan tular adalah tidak benar sama sekali.

"Ingin kami tekankan sekali lagi bahawa kehadiran anakguam kami hanyalah untuk membantu proses siasatan pihak SPRM sahaja dan anakguam kami telah memberi kerjasama penuh dalam membantu siasatan tersebut," katanya.

Pada 1 Oktober lalu, pengurus Shuib, Nana Mohamad Rom mengesahkan bahawa anggota kumpulan pelawak Sepahtu itu dipanggil SPRM tetapi tidak memberikan maklumat lanjut kerana enggan mengganggu siasatan.

"Untuk makluman hanya keterangan Shuib saja yang diambil oleh pihak SPRM manakala isterinya, Siti Sarah Raissuddin, hanya menemani," katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu beberapa portal melaporkan pasangan terbabit hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan agensi antirasuah tersebut.

Utusan Online memetik sumber sebagai berkata ia berkaitan kegiatan pengubahan wang haram

Bagaimanapun Muhammad Fadhli berkata setakat ini sebab Shuib dipanggil tidak dapat didedahkan kerana ia masih di peringkat siasatan.

"Kami telah nasihatkan anak guam mahupun pengurusan mereka bahawa tidak digalakkan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan perkara ini. Ini penting bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan oleh SPRM," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS