Pereka fesyen terkenal dari Jepun mangsa terbaru Covid-19
Pereka fesyen terkemuka Jepun yang juga pengasas jenama global Kenzo pada 1970, Kenzo Takada, meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19. Dia menghembuskan nafas terakhirnya di Paris, Perancis, semalam.
Jurucakap Takada berkata, personaliti berusia 81 tahun itu disahkan meninggal dunia di American Hospital of Paris di Neuilly-sur-Seine, sebuah pinggir bandar di barat ibu kota terbabit.
Terkenal dengan kimono dan potongan bermotifkan warna-warni dan siluet asli yang diinspirasi dari Jepun, Takada juga mengeluarkan pewangi dan produk penjagaan kulit bagi membantu perniagaannya terus berkembang.
Mendiang bersara pada 1999, iaitu enam tahun selepas menjual jenamanya kepada konglomerat mewah, LVMH, dan mendedikasikan masanya untuk projek one-off termasuk satu koleksi reka bentuk pada awal tahun ini.
Sejak itu Kenzo dikendalikan beberapa pengarah kreatif lain, sementara Takada mengekalkan hubungan rapat dengan dunia fesyen tetapi pada masa sama meneroka bidang reka bentuk lain, termasuk perabot.
Kematian Takada disahkan melalui Instagram jenama Kenzo hari ini.
Takada - yang menggambarkan bagaimana dia tiba di Perancis selepas melalui perjalanan panjang dengan kapal pada pertengahan 1960-an - juga dikenali sebagai pengembara yang sering bermain dengan campuran inspirasi budaya dalam sesebuah rekaannya.

New York Times mengulas salah satu pertunjukan fesyen awal Takada pada 1973 sebagai “bauran etnik yang menggembirakan dan penuh keseronokan," selain menyifatkan mendiang "salah seorang pereka paling imajinatif di dunia.”
Menurut Reuters, Takada turut terkenal sebagai pereka kostum opera dan memulakan perniagaannya dengan membuka kedai kecil di Paris sebelum mencapai status bintang dan terus menetap di situ.
Individu-individu sezamannya yang popular dalam bidang fesyen Paris termasuk Jean Paul Gaultier dan Yves Saint Laurent.
“Paris berkabung kerana kehilangan salah seorang anaknya hari ini," ciap Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo di Twitter.
Pengerusi LVMH dan Ketua Pegawai Eksekutif, Bernard Arnault dalam satu kenyataan berkata, Takada “menanamkan gaya dengan nada puitis dan menawarkan kebebasan yang mengilhami banyak pelapis pereka.”
Ketua Persekutuan Fesyen Perancis, Ralph Toledano, pula berkata Takada menyumbang kepada pembaharuan fesyen yang menggabungkan ciri-ciri Timur dan Barat.
Pada awal tahun ini, Takada melancarkan projek baru di Paris, sebuah jenama rumah dan gaya hidup diberi nama K3, melalui kerjasama dengan pereka lain.

