Artis disiasat kes AMLA: Dua pegawai kanan polis ditahan bantu siasatan
Polis mengesahkan dua pegawai kanan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya masih belum menerima laporan lengkap berhubung penahanan berkenaan.
"Kita masih menunggu sama ada dua pegawai itu ditahan atas kes berkenaan (pengubahan wang) atau kes lain.
"Saya tak boleh ulas kerana siasatan dijalankan SPRM," katanya dipetik Harian Metro.
Acryl berkata, pada masa sama pihaknya akan menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan segelintir pihak di media sosial berhubung pembabitan pegawai polis dalam sindiket 'cuci duit' yang dikaitkan dengan perniagaan golongan artis sebelum ini.
"Siasatan dalaman akan dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) jadi kita tunggu dulu," katanya.
Terdahulu media melaporkan artis diperdaya selain populariti mereka digunakan untuk menjalankan kegiatan pengubahan wang haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.
Ia antara kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal untuk memulakan perniagaan.
Taktik itu dipercayai bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa selain membolehkan keuntungan diperoleh hasil kerjasama pelbagai bentuk pelaburan yang disertai bersama.
Bagaimanapun, kegiatan mereka itu dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui hasil risikan dan kemudian siasatan dijalankan sebelum lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk ditahan.

