Pelakon Aeril Zafrel menyuarakan hasrat untuk membantu penduduk Sabah yang terkesan dengan wabak Covid-19 - terutama di zon merah - yang kian membimbangkan sejak beberapa minggu lalu.
Menerusi Instagram, Aeril, 31, berkata mana-mana penduduk Sabah yang memerlukan bantuan boleh terus menghubunginya.
“Orang Sabah yang terkesan dengan Covid-19 terutama di zon merah yang perlukan bantuan sila DM (mesej di Instagram),” katanya.
“Siap-siap bagi nombor akaun ya,” kata suami kepada aktres Wawa Zainal itu lagi.
Zon merah merujuk kawasan dengan kes tertinggi. Di Sabah, terdapat 15 daerah di bawah zon itu, iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Tuaran, Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Sandakan, Papar, Kota Kelud, Keningau, Tambunan, Beaufort dan Ranau.
Setakat laporan ini ditulis, perkongsian pemilik nama sebenar Suhairil Sunari itu telah menerima kira-kira 100,000 tanda suka dan lebih 3,000 komen daripada pengikut akaunnya, yang kebanyakannya mendoakan agar hasratnya dipermudahkan.
“Semoga dipermudahkan urusan untuk membantu mereka yang dalam kesusahan. Semoga dilimpahi rezeki untuk terus membantu,” kata pengguna akaun @lyla_aw04.
Pengguna akaun @cpfie_official pula mendoakan agar rezeki Aeril itu membuatkan rezekinya dilipat ganda oleh Tuhan.
“Alhamdulillah semoga diberikan berganda-ganda lagi rezeki kalian,” katanya.
Penularan Covid-19 di negara ini mencatat tahap membimbangkan sejak beberapa minggu lalu. Hari ini, sebanyak 862 lagi kes terbaru dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 22,225 kes dengan 7,681 kes aktif.
Sabah sekali lagi merekodkan kes baru tertinggi hari ini iaitu sebanyak 673 kes diikuti Selangor (132), Kedah (17), Perak (sembilan), Pulau Pinang (lapan), Labuan (enam), Negeri Sembilan (enam), Kuala Lumpur (enam), manakala Putrajaya, Johor, Kelantan masing-masing satu kes.
