Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Scha Elinnea hampa, nama terjejas lepas dikaitkan skandal seks

“Jika boleh dapat wang cecah RM40,000 satu malam, buat apa saya susah- payah ulang-alik Kuala Lumpur ke Kuantan untuk jalani penggambaran,” demikian kata pelakon Scha Elinnea apabila namanya dikaitkan dengan sindiket pelacuran kelas atasan yang didedahkan baru-baru ini.

Aktres yang baru dua tahun berkecimpung dalam industri itu turut mengakui dia berasa berang dan kecewa kerana usahanya untuk membina nama tiba-tiba terjejas gara-gara sebuah blog mengaitkan dirinya dalam skandal seks terbabit secara tidak langsung.

“Bila dituduh secara melulu, sesiapa pun akan berasa marah dan kecewa seperti saya. Mereka yang menuduh tak tahu saya bersusah-payah kerja dari petang hingga ke malam untuk cari rezeki.

“Untuk jana pendapatan halal ada kalanya saya sampai terpaksa jalani tiga penggambaran pada satu-satu masa,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, pihak pengurusan artis Absolut Management melalui satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan pelakon di bawah naungan mereka itu terbabit dalam sebarang skandal seks atau aktiviti pelacuran kelas atasan dengan bayaran mencecah RM40,000 untuk satu malam.

Menurut kenyataan tersebut, walaupun tanpa menyebut nama sesiapa, sebuah blog didakwa mengaitkan nama Scha atau nama sebenarnya Natasha Mohamed Mubeen, 21, secara tidak langsung dengan skandal seks terbabit apabila memaparkan tangkap layar akaun Instagram milik aktres berkenaan.

Turut dilampirkan laporan polis yang bertarikh 20 Oktober iaitu semalam yang difailkan di pejabat Polis Diraja Malaysia daerah Kuantan, Pahang ekoran Scha dihujani mesej berunsur penghinaan selain bertujuan mengajaknya melakukan hubungan seks.

Bagaimanapun, untuk rekod, blog terbabit baru memohon maaf secara terbuka sebentar tadi dengan mengaku telah menggunakan tangkap layar tersebut sebagai gambar hiasan tanpa meminta kebenaran.

Mengulas permohonaan maaf tersebut, kata pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu, kejadian menimpa mengakibatkan reputasinya sebagai anak seni tetap terjejas.

“Hampa, the damage has been done (kerosakan sudah berlaku). Saya tak nak perkara ni berlaku lagi pada orang lain, tolong ambil iktibar daripada perkara terjadi.

"Walaupun dah dipadamkan atau dah minta maaf ada orang tetap dah baca artikel tersebut, mereka sudah salah anggap dan fikir bukan-bukan," katanya.

Lihat Komen
ADS