Sanjay Dutt - yang berehat buat sementara waktu selepas didiagnos mengidap kanser - hari ini mengumumkan dia berasa gembira kerana berjaya 'mengalahkan' barah paru-paru tahap empat yang dihidapinya.

Berita itu diumum aktor Bollywood itu melalui Twitter sempena majlis ulang tahun anaknya.

“Beberapa minggu lalu adalah tempoh yang begitu sukar untuk saya dan keluarga. Tapi seperti yang sering diperkatakan, Tuhan memberikan dugaan paling sukar kepada tentera terkuatnya.

“Dan hari ini - sempena ulang tahun anak - saya gembira kerana berjaya melepasi perjuangan ni dan dapat memberikan mereka hadiah yang terbaik boleh diberikan iaitu kesihatan dan kesejahteranaan keluarga kami,” ciapnya.

Beberapa hari lalu, Sanjay, 61, mengesahkan dia mengidap barah melalui sebuah klip video selepas spekulasi terhadap laporan itu bertebaran sejak beberapa minggu lalu.

Pada 8 Ogos lalu, dengan memetik sumber The Times of India melaporkan Sanjay atau digelar Deadly Dutt itu mengalami masalah sukar bernafas lalu pergi mendapatkan bantuan perubatan di hospital.

Pada awal dia hanya menjangkakan masalah kesihatan itu berlaku disebabkan dijangkiti wabak Covid-19. 

Sanjay mengucapkan terima kasih kepada peminat, rakan dan keluarga atas sokongan dan kata-kata semangat diberikan.

“Ini semua tidak akan berlaku tanpa kepercayaan sokongan yang tidak berbelah-bahagi dari kamu semua,” ciapnya.

Sanjay baru saja selesai penggambaran filem Shamshera ketika menjalani rawatan barah selain mempunyai beberapa projek terbaru yang bakal diterbitkan termasuk KGF: Chapter 2, Bhuj: The Pride of India, Prithviraj dan Torbaaz.

Aktor berkenaan terkenal sebagai salah seorang bintang Bollywood yang lumayan dengan tawaran tetapi karier lakonannya terhenti selepas dia dimasukkan ke penjara pada 2013 untuk menghabiskan hukuman lima tahun penjara.

Dia disabitkan dengan kesalahan memiliki senjata api secara haram yang berkaitan kes pengeboman pada 1993 yang mengorbankan 257 orang dan mencederakan 713 orang di Mumbai, India.