Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Isu sindiket pelacuran berkait siasatan SPRM pada Macau Scam - Zed
Diterbitkan:  Oct 26, 2020 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi berkata pandangannya mengenai isu sindiket pelacuran membabitkan segelintir artis dibuat berdasarkan kenyataan diberikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zed mendakwa, skandal seks yang dikatakan melibatkan golongan kelas atasan itu didedahkan SPRM susulan siasatan agensi itu ke atas kes Macau Scam.

“Menurut kenyataan SPRM, salah seorang agen yang membekalkan artis dan Instafamous sebagai pelacur itu terbabit dalam aktiviti Macau Scam,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia juga menafikan membuat kenyataan tersebut untuk mendakwa golongan artis terlibat aktiviti tidak bermoral itu hanya kerana mereka mengalami kesempitan hidup, tiada peluang pekerjaan dan ditambah dengan situasi semasa Covid-19.

Kata Zed, golongan itu - terutama artis baru - terjebak boleh juga berpunca kerana mereka ingin hidup mewah.

“Seseorang artis itu boleh terlibat sindiket sebegini disebabkan banyak perkara bukan semata-mata kerana tak ada peluang pekerjaan.

“Maksudnya, apabila nak hidup mewah pun boleh berlaku. Dalam situasi Covid-19, semua masalah dan macam-macam perkara boleh timbul.

“Macau Scam dan sindiket pelacuran antaranya boleh mempengaruhi dan menjadikan segelintir artis sebagai mangsa,” katanya.

Mengulas jumlah ditawarkan sebagai upah untuk satu malam kira-kira RM20,000 hingga mencecah RM40,000, Zed menjelaskan, ia suatu anggaran diberikan oleh SPRM merangkumi kos sindiket pelacuran termasuk aktiviti sosial yang dijalankan mereka.

“Ini anggaran yang mereka (SPRM) siasat, misalnya nak bayar upah ejen, nak bawa pergi ke pusat karaoke atau tempat hiburan lain dan upah artis atau Instafamous itu lagi,” katanya.

Bukan nak aibkan sesiapa

Pada masa sama kata Zed, 40, pengaruh media sosial turut membawa peranan besar apabila segelintir golongan artis terdorong ingin memaparkan gaya hidup mewah.

“Dulu tak ada media sosial, sekarang dah ada, ia membawa cabaran lebih besar. Dulu ada (pelacuran) tapi secara terpencil dan orang tak sedar. Tapi sekarang boleh nampak isu tu dengan jelas,” katanya.

Menjawab isu penyenaraian hitam seseorang artis berikutan sindiket pelacuran, Zed, berkata, proses itu bukan dibuat sesuka hati sebaliknya melalui proses tertentu bermula daripada keputusan mahkamah.

“Kita tak buat sesuka hati. Selepas keputusan mahkamah apabila seseorang artis itu didapati bersalah, barulah Seniman melalui jawatankuasa disiplin akan putuskan untuk senarai hitamkan artis itu dalam bentuk macam mana,” katanya.

Ditanya reaksi penggiat seni susulan kenyataannya itu pula, Zed berkata, dia sedikit pun tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa sebaliknya mahu memberikan kesedaran terutama untuk artis baru.

Katanya, segelintir artis yang baru menceburkan diri dalam industri seni tanah air masih kurang maklumat sekali gus menyebabkan imej hiburan secara keseluruhan tercemar apabila mereka terjebak dalam gejala negatif.

“Walaupun pahit, terpaksa kita telan. Sebelum ni Seniman bongkar kes artis terbabit ah long, rasuah dan penggubahan wang haram. Jika tak dedah, tak ada kes contoh.

“Saya bukan nak aibkan sesiapa tapi supaya berikan kesedaran kepada generasi akan datang khususnya supaya mereka tak buat perkara begini.

“Dasar Seniman ialah memperjuang, membela kebajikan dan meningkatkan imej artis Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS