Teruja dengan transformasi kehidupan Sahol Hamid Abu Bakar, bekas naib canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata pernah ada pihak ingin membikin filem Hindustan dan Tamil mengenai liku-liku kehidupannya.

Menurut Sahol semuanya bermula gara-gara tajuk sensasi sebuah akhbar di India pada 2017 ketika dia menyandang jawatan naib canselor di sebuah universiti di negara itu.

Dalam catatan yang ditulis di Facebook, Sahol turut memuat naik gambar muka depan akhbar Indian Express keluaran tahun 2017.

Ia menampilkan dirinya berbaju Melayu warna ungu dan bersongkok hitam dengan tajuk utama “The gangster vice chansellor” (Seorang Naib Canselor yang gangster).

“Semasa tu saya baru dilantik sebagai naib canselor sebuah Universiti di India. Dalam sejarah Pengajian Tinggi di India saya adalah naib canselor luar negara foreign pertama di India.

“Ramailah pemberita yang datang untuk interview. Saya tayangkan filem Chowrasta untuk pemberita yang datang," katanya.

Menurut Sahol, dia menceritakan kepada wartawan-wartawan di India mengenai kisah hidupnya yang pernah dijaga oleh pak ciknya yang merupakan seorang ketua gangster.

Chowrasta merupakan filem tahun 2015 arahan pengarah A Razak Mohaideen. 

Filem ini mengisahkan perjalanan hidup seorang pemuda miskin bernama Hamid yang berada di bawah jagaan pak ciknya, Uncle Don, seorang ketua kongsi gelap dan Muay Thai.

Filem yang berlatar belakangkan era 60an, 70an itu turut menyaksikan Hamid melanjutkan pelajarannya ke ITM, Shah Alam sehingga berjaya mengubah kehidupannya.

“Saya bukanlah sehebat pak cik saya. Saya hanya setakat jaga keselamatan kampung sahaja. Saya bukanlah gangster.

“Tahulah pemberita yang pandai-pandai reka tajuk sensasi. Satu India dikenalkan. Ada sehingga nak buat filem Hindustan dan Tamil berdasarkan hidup susah saya sehingga menjadi naib canselor,” kata Sahol.

Kata Sahol, dia berterima kasih kepada UiTM kerana menjadikannya seorang insan seperti hari ini.

“UiTM 'kutip' saya dari jalan dan jadikan saya manusia sehingga boleh jadi naib canselor di Malaysia dan luar negara dan boleh menjadi profesor di negara Jerman di University of Stuttgart sehingga hari ini.

“Saya sangat hutang budi kepada UiTM. Darah yang mengalir dalam tubuh saya adalah darah UiTM,” katanya.