Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Walau banyak pihak desak batal, ABPBH 33 tetap dijayakan
Diterbitkan:  Nov 14, 2020 10:46 AM
Dikemaskini: 2:46 AM

Malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 (ABPBH 33) selamat dilangsungkan meskipun mendapat tentangan beberapa pihak yang mendesak acara itu dibatalkan.

Majlis itu, yang diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, mengangkat nama penyanyi, komposer dan penulis lirik Haqiem Rusli sebagai pemilik trofi Bintang Paling Popular, ABPBH 33 di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

Dia menang anugerah utama itu selepas memperoleh 22,332,676 undi sepanjang tempoh undian ABPBH 33 dibuka sejak awal bulan lalu sehingga 8 November.

Dengan kemenangan itu, Haqiem membawa pulang hadiah utama, kereta Nissan Leaf dengan kuasa elektrik 100 peratus dan sifar emisi, berharga RM181,263, berserta trofi.

Francesca Peter pula menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di atas lebih empat dekad penglibatannya dalam industri muzik tanah air.

Terdahulu, beberapa pihak menyuarakan rasa tidak puas hati kerana beranggapan acara berkenaan tidak wajar diteruskan di tengah-tengah wabak Covid-19 yang membawa kesan begitu besar kepada negara dan rakyat.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) misalnya berpandangan umat Islam sepatutnya memperbanyak aktiviti yang boleh mendekatkan diri kepada Tuhan ketika mendepani wabak itu.

Mendakwa pihaknya menerima banyak aduan berkenaan acara hiburan itu, Yang Dipertua Yadim Nasrudin Hassan menyerahkan surat bantahan rasmi kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pada 12 Nov lalu.

“Yadim menerima banyak aduan daripada umat Islam mengenai ketidakwajaran program ini diteruskan. Justeru kami mohon ia dibatalkan," katanya yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS dalam satu hantaran di Facebook.

Nasrudin juga berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkfili Mohamad telah menemui Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah bagi menyatakan sikap dan pandangan Islam berhubung isu hiburan dan ABPBH 33.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob pula menjelaskan bahawa ABPBH 33 tidak termasuk dalam senarai aktiviti terlarang semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Justeru itu, katanya tiada keperluan untuk penganjur merayu supaya anugerah itu dibenarkan dan hanya perlu mengikut SOP yang ditetapkan.

“Hiburan ABPBH 33 di bawah industri kreatif persembahan seperti ini termasuk dalam SOP PKPB yang lepas adalah luar dari senarai negatif, maknanya ia dibenarkan.

“Kerana ia bukan aktiviti terlarang atau tidak dibenarkan, maka tiada keputusan (daripada jawatankuasa khas berkenaannya).

“Jika tiada keputusan, mereka hanya perlu SOP yang diputuskan oleh SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia), KKMM dan MKN (Majlis Keselamatan Negara) ketika kita umum kebenaran itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS