Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ismail Sabri: Anugerah Bintang Popular bukan aktiviti terlarang

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 (ABPBH 33) tidak tergolong dalam senarai aktiviti terlarang semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Justeru itu, katanya tiada keperluan untuk penganjur merayu supaya anugerah itu dibenarkan dan hanya perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Hiburan ABPBH 33 di bawah industri kreatif persembahan seperti ini termasuk dalam SOP PKPB yang lepas adalah luar dari senarai negatif, maknanya ia dibenarkan.

“Sebab itu tiada rayuan dibuat oleh penganjur kepada jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh perdana menteri dan juga jawantankuasa teknikal yang dipengerusikan oleh saya.

“Kerana ia bukan aktiviti terlarang atau tidak dibenarkan, maka tiada keputusanlah.

“Jika tiada keputusan, mereka hanya perlu SOP yang diputuskan oleh SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia), KKMM (kementerian komunikasi dan multimedia Malaysia) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara) ketika kita umum kebenaran itu,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 hari ini.

Terdahulu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menggesa malam kemuncak anugerah tersebut dibatalkan dan umat Islam memperbanyakkan aktiviti yang boleh mendekatkan diri kepada Allah ketika mendepani wabak Covid-19.

 Memorandum Yadim kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Ismail ditanya pemberita berkaitan kritikan warganet susulan penganjuran aktiviti hiburan sebegitu dibolehkan, tidak seperti kegiatan sukan seperti bola sepak.

Menjawab hal itu, Ismail menjelaskan bahawa amat sukar bagi memastikan penjarakan fizikal ketika perlawanan bola sepak.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) anggap apabila berlaku sentuhan dan peluh, itu lebih membahayakan dan juga pemain terpaksa rentas negeri sedangkan ia tidak boleh dalam SOP PKPB. Sebab itu dari dulu tidak dibenarkan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ismail turut menasihati penganjur majlis hiburan esok supaya mengikuti SOP.

“SOP macam biasalah, tiada penonton dan wajibkan peserta pakai pelitup muka, tiada warga asing dan kru secara minimum.

“Jika berlaku pelanggaran, penganjur akan diambil tindakan,” katanya lagi.

Ismail juga menambah, dia akan menyerahkan isu lanjut berhubung majlis tersebut kepada Menteri KKMM, Saifuddin Abdullah.

Lihat Komen
ADS