Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Pengarah filem M'sia rangkul anugerah prestij Golden Horse

Diterbitkan

Chong Keat Aun dari Malaysia merangkul anugerah pengarah baru terbaik pada Festival Filem Golden Horse ke-57 di Taipei semalam.

Anugerah itu atas penampilan sulung Chong yang mempertaruhkan filem "The Story of Southern Islet" sebuah kisah fantasi yang meneroka kepercayaan ghaib.

"Filem ini tidak hebat. Orang-orang yang membantu (pembikinannya) yang menjadikan ia hebat," kata Chong penuh emosi ketika menerima anugerah itu, lapor Focus Taiwan.

Katanya, ramai orang yang membantunya membuat filem itu, tetapi memberi penghormatan khas kepada salah seorang penerbit, seorang jurukamera dan seorang mentor yang meninggal dunia tidak lama setelah filem itu selesai.

Chong juga mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya, yang katanya secara bergurau mungkin belum menyedari bahawa filem itu mengenai mereka.

"Ketika saya berusaha mendapatkan dana untuk filem ini, ramai orang mengatakan kepada saya bahawa mereka tidak memahaminya, dan saya selalu berkata bahawa mungkin suatu hari nanti ada yang akan faham. Dan Golden Horse Awards memahaminya," kata Chong.

The Story of Southern Islet berkisar mengenai pasangan sumai isteri Cina yang tinggal berhampiran di sempadan Malaysia-Thailand. 

Pada suatu hari setelah bertengkar dengan seorang jirannya, si suami tiba-tiba pengsan dan memuntahkan darah dan kuku berkarat.

Terdesak untuk mendapatkan rawatan untuk sakit suaminya, si isteri mula meneroka pelbagai kepercayaan rohani di antara pelbagai etnik di wilayah tersebut, dengan harapan salah seorang daripada mereka dapat membantu menyembuhkan suaminya.

Chong, yang mengarahkan, menulis dan berlakon dalam filem itu, juga dicalonkan untuk lakon layar asli terbaik.

Perbadanan Pembangunan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengucapkan tahniah kepada Chong Keat Aun yang juga memenangi anugerah FIPRESCI (International Federation of Film Critics) untuk filem itu.

#LensaSinema #Spotlight FINAS ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pengarah Chong Keat Aun yang telah...

Posted by FINAS Malaysia on Saturday, November 21, 2020

Filem yang dibintangi oleh Season Chee, Pearlly Chua, Jojo Goh, Mei-Sim Hoon dan Ling Tang itu juga merangkul Anugerah Filem Terbaik di Istanbul Film Awards (IFA) di Turki pada September 2020.

Walaupun Chong belajar filem di kolej, dia bekerja sebagai penyampai radio di Malaysia selama lebih dari sedekad setelah dia menamatkan pengajian. 

Pada tahun 2017, dia membuat filem pendek pertamanya, "Cemetery of Courtesy," yang dipilih untuk Festival Filem Antarabangsa Busan.

Festival Filem Golden Gorse ke-57 diadakan sebagai acara fizikal pada hari Sabtu di Dewan Peringatan Sun Yat-sen di Taipei.

Setakat ini, Taiwan hanya mempunyai 611 kes Covid-19 yang disahkan dan tujuh kematian manakala pawagam di seluruh negara masih dibuka semasa wabak tersebut.

Anugerah tahunan ini, yang dianjurkan sejak tahun 1962, dianggap antara anugerah filem paling berprestij di dunia pawagam berbahasa Cina.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan