'Padam tuduhan dan minta maaf atau hadapi tindakan undang-undang'
Bekas peserta program Dai Pendakwah Nusantara, Syed Shah Iqmal atau Da’i Syed sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang termasuk tuntutan saman fitnah terhadap individu yang mendakwa dia terbabit dalam jenayah rogol.
Selain itu, katanya lagi, dia sedang berbincang bagi mendapatkan ganti rugi terhadap kerosakan imej dan reputasinya sebagai figura awam sekiranya mereka tidak memadam kenyataan fitnah ditularkan selain membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Perbincangan telah memasuki fasa akhir dan pasukan peguam saya telah memulakan tugas-tugas menyiapkan draf kertas kausa dan pengumpulan maklumat.
“Saya dengan ini menuntut supaya pengguna-pengguna akaun Twitter yang berkenaan untuk memadam segala kenyataan-kenyataan yang bersifat fitnah yang telah dibuat, ditokok tambah, disebarkan dan ditujukan kepada saya sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan kadar segera.
“Permohonan maaf secara bertulis juga perlu dilakukan bagi membetulkan keadaan. Permohonan maaf ini kemudiannya perlu disebarkan dengan cara sama fitnah saya disebarkan.
“Sebarang kedegilan oleh mana-mana pengguna akaun Twitter yang berkenaan untuk melakukan seperti yang dituntut akan saya terima sebagai pelawaan bagi saya memulakan tindakan saman fitnah di mahkamah terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Semalam Syed membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor selepas seorang pemilik akaun Twitter mendakwa rakannya mengalami trauma akibat menjadi mangsa rogol.
Ayah sudah berpisah dengan ibu
Syed, 25, turut menafikan sekeras-keras dakwaan tersebut yang didakwanya telah ditokok tambah, disebar dan ditujukan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepadanya.
“Kenyataan-kenyataan tersebut merupakan tohmahan yang amat dahsyat terhadap diri saya. Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya keseluruhan kenyataan-kenyataan tersebut.
“Sesungguhnya saya telah difitnah melakukan perbuatan yang amat keji dan terkutuk. Saya amat terkesan dan berasa sedih dengan kenyataan- kenyataan fitnah yang dibuat,” katanya.
Sementara itu, mengulas kenyataan dibuat bapanya, Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, semalam dia berkata, bapanya itu telah berpisah daripada ibunya sejak 2017.
Justeru, katanya, hubungan antara dia dan bapanya itu terlalu peribadi dan biarlah disimpan sendiri olehnya berbanding disebarkan di media sosial.
“Saya juga mengambil maklum mengenai hantaran media sosial Facebook oleh pengguna akaun Facebook, Seif Jamalullail yang merupakan ayah kandung saya.
“Saya percaya bahawa keadaan sebenar hubungan semasa di antara kami berdua adalah perkara peribadi yang perlu disimpan sendiri oleh saya, cukuplah sekadar saya menyatakan bahawa ayahanda saya telah lama meninggalkan ibu saya sejak tahun 2017. Dia lantas berpindah ke Kaherah, Mesir," katanya.
Kata Syed, hubungan antara dia dan bapanya keruh seawal 2016 apabila dia tidak bersetuju dengan pilihan kerjaya hidupnya yang ingin menyertai Da’i Pendakwah Nusantara.
“Namun atas rasa hormat seorang anakanda kepada ayahandanya, saya terima nasihat yang diberikan itu dengan hati yang terbuka,” katanya.

